Global

PM Anwar tiba di Jepun untuk Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Jepun

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat tiba di Tokyo bagi menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Jepun sempena 50 tahun persahabatan dan kerjasama.

Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri dan isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mendarat di Lapangan Antarabangsa Haneda pada jam 11.40 malam waktu tempatan.

Turut serta dalam lawatan kerja tersebut ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Ketibaan Perdana Menteri pada lawatan kerja pertamanya sejak memegang jawatan Perdana Menteri November lalu disambut oleh Timbalan Menteri Parlimen Hal Ehwal Luar Jepun, Yasushi Hosaka dan Duta Besar ke Jepun, Datuk Shahril Effendi Abd Ghany.

BACA LAGI: Malaysia mahu belajar kepakaran Jepun guna setelit sebagai ‘internet backhaul’

Lawatan kerja Perdana Menteri pada kali ini adalah bagi memenuhi undangan Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida untuk menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Jepun.

Pada lawatan ini, perdana menteri dijadualkan mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatnya.

Kedua-dua pemimpin dijangka akan membincangkan kedudukan hubungan dua hala Malaysia-Jepun dan bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama selain membincangkan usaha ke arah meningkatkan perkongsian, termasuk mengenal pasti bidang kerjasama baharu.

Anwar juga dijadual bertemu dengan beberapa tokoh industri serta diaspora Malaysia di Tokyo.

Related Articles

Back to top button