Global

Anwar, Kishida gesa reformasi PBB selari realiti geopolitik abad ke-21

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu segera membuat pembaharuan untuk memperkukuh lagi fungsi badan dunia itu.

Gesaan itu dibuat secara bersama oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari Jepun Fumio Kishida melalui satu kenyataan selepas pertemuan dua hala di Tokyo pada Sabtu.

Melalui kenyataan itu, kedua-dua pemimpin menekankan kepentingan untuk Majlis Keselamatan PBB memperkuat keberkesanan, ketelusan dan keterangkuman melalui penambahan dalam keahlian tetap dan tidak tetap selain menyatakan bahawa pembaharuan itu perlu supaya dapat mencerminkan realiti geopolitik abad ke-21.

“Perdana Menteri Kishida merakamkan penghargaan atas sokongan berterusan Malaysia terhadap pencalonan Jepun untuk keahlian tetap dalam Majlis Keselamatan PBB.

“Perdana Menteri Anwar menyuarakan harapan Jepun akan memberikan sokongan untuk pencalonan Malaysia sebagai ahli tidak tetap dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk tempoh 2036-2037,” menurut mereka.

BACA LAGI: Penyedia dana modal teroka digesa berganding tenaga kukuh ekosistem pembiayaan

Dalam pada itu, Anwar dan Kishida juga mengesahkan bahawa mereka akan terus bekerjasama dalam isu-isu seperti konflik Israel-Palestin, situasi di Ukraine, isu penculikan Korea Utara dan program nuklear dan peluru berpandu, situasi di Myanmar serta pelucutan dan pengawalan senjata nuklear dan penggunaan tenaga nuklear secara aman.

Kedua-dua pemimpin turut menekankan mengenai pentingnya untuk semua pihak yang berkaitan mengambil pendekatan secara lebih terkawal dalam menangani isu Laut China Selatan dan Timur serta mencari penyelesaian pertikaian dengan aman berdasarkan prinsip-prinsip yang diiktiraf undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Undang-Undang Laut Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982.

Mengenai ASEAN, kedua-dua pemimpin memutuskan untuk meneruskan sinergi antara “Free and Open Indo-Pacific” dan “ASEAN Outlook on the Indo-Pacific” sambil menghormati pemusatan dan perpaduan ASEAN.

Related Articles

Back to top button