Kerajaan buktikan keperihatinan melalui subsidi penerbangan musim perayaan – Armizan
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali menyifatkan pemberian subsidi pembelian tiket penerbangan kelas ekonomi bagi perjalanan sempena musim perayaan membuktikan komitmen tinggi kerajaan bagi meringankan isu kos sara hidup yang dihadapi rakyat.
Beliau berkata agenda menangani isu kos sara hidup rakyat diselaras melalui Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (NACCOL) diurussetiakan Sekretariat NACCOL di kementeriannya dengan strategi serta pendekatan yang merentasi pelbagai kementerian dan agensi.
“Agenda menangani kos sara hidup digerakkan di bawah beberapa kluster seperti perumahan, pendapatan dan pengangkutan. Setiap kluster ini dianggotai pelbagai kementerian dan agensi.
“Pemberian subsidi tiket penerbangan ini adalah inisiatif terbaru kluster pengangkutan dilaksanakan oleh dan melalui peruntukan Kementerian Pengangkutan,” katanya ketika ditemui di Papar, Sabah pada Sabtu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pada Jumaat mengumumkan inisiatif itu yang kedua membabitkan tiket penerbangan selepas Flysiswa.
Melaluinya kerajaan akan memberi subsidi kepada tiket penerbangan kelas ekonomi melebihi RM599 sehala dari Semenanjung ke Sabah, Sarawak dan Labuan bagi perjalanan tiga hari sebelum perayaan dan akan bermula bersempena sambutan krismas tahun ini.
Loke ketika mengumumkan inisiatif itu berkata, dasar sama akan diteruskan tahun depan bagi perayaan Tahun Baharu Cina, Aidilfitri, Pesta Kaamatan, Hari Gawai dan Krismas dengan pembelian tiket dibuka pada 12.01 tengah malam 1 Jan 2024.
BACA LAGI: Kerajaan beri subsidi tiket penerbangan sempena perayaan, bantu ringan beban rakyat
Sementara itu, Armizan menyifatkan pelaksanaan sempena sambutan Krismas ini adalah projek perintis untuk melihat keberkesanan, prosedur pelaksanaan, kos dan pelbagai faktor yang terlibat dalam usaha meneruskan inisiatif itu selepas ini.
“Selepas ini kita lihat balik semua faktor itu bagi membolehkan inisiatif ini berjalan lancar dan memberi banyak faedah kepada rakyat kita.
“Saya harap rakyat jangan lepaskan peluang ambil bantuan yang diberikan kerajaan ini untuk pulang ke Sabah, Sarawak dan Labuan pada perayaan nanti,” tambahnya.