Semasa

KSM-KDN bincang elak pertindihan kuasa berkaitan isu pekerja asing

Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan membincangkan isu berkaitan bidang kuasa berkaitan pekerja asing bagi memastikan tidak berlaku pertindihan kuasa antara kementerian.

Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi perbincangan mengenai dasar dan operasi dengan lebih terperinci.

“Sehari selepas angkat sumpah (dilantik sebagai Menteri Sumber Manusia) perkara pertama saya lakukan ialah berjumpa dan berbincang dengan Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail) dan antara isu berbangkit ialah tentang pekerja asing.

“Saya dah cakap dengan dengan beliau dan minta untuk adakan satu pertemuan untuk bincang tentang dasar dan operasi pekerja asing di Malaysia secara lebih terperinci terutama berkaitan bidang kuasa kedua-dua kementerian itu.

“Kita akan buat pengumuman selepas perbincangan tersebut,” katanya kepada pemberita sebagai mengulas mengenai cadangan daripada beberapa pihak agar isu pekerja asing diletakkan di bawah bidang kuasa kementerian yang sama.

Beliau ditemui selepas mengadakan lawatan ke Hospital Bukit Mertajam(HBM) pada Sabtu bagi menyempurnakan penyerahan naik taraf sistem penyaman udara dan elektrik, di zon menunggu di jabatan kecemasan dan trauma oleh pejabat Ahli Parlimen Bukit Mertajam.

Beliau yang juga merupakan wakil rakyat kawasan itu memaklumkan semua projek itu telah dijalankan Oktober lepas dengan peruntukan RM230,000 dan siap sebulan kemudian. Naik taraf itu dijangka akan memberi manfaat kepada 500 pesakit dan 300 kakitangan HBM setiap hari.

BACA LAGI: Steven ajak rakyat beli produk Palestin tanda sokongan

Sementara itu Steven Sim memaklumkan, beliau telah mengkaji semua jabatan dan badan berkanun di bawah KSM untuk membuat penelitian serta beliau juga akan meneruskan kesinambungan menteri terdahulu.

“Perubahan berlaku dalam kerajaan yang sama dan kita akan memastikan ada kesinambungan pada dasar-dasar yang baik manakala mana-mana dasar yang memerlukan penambahbaikan kita akan buat selepas ini.

“Beri saya sedikit masa untuk meneliti kementerian ini dahulu, bukan sahaja jabatan-jabatan malah dasar kementerian dan kita akan buat pengumuman dari semasa ke semasa,” katanya.

Related Articles

Back to top button