Global

Malaysia – Jepun tingkat kerjasama strategik dalam lima bidang utama

Malaysia dan Jepun bersetuju untuk meningkatkan hubungan Perkongsian Strategik Komprehensif dalam lima bidang utama.

Menurut kenyataan Kementerian Luar (Wisma Putra), bidang-bidang itu ialah Kerjasama Keamanan dan Keselamatan; Penglibatan Berterusan di Semua Peringkat untuk Kemakmuran Ekonomi; Sains, Teknologi, Inovasi dan Alam Sekitar; Masyarakat, Budaya dan Pertukaran Sesama Rakyat; dan Kerjasama Serantau dan Global.

Persetujuan itu dicapai susulan pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari Jepun Fumio di luar Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Jepun pada Sabtu.

“Peningkatan hubungan dua hala menandakan lembaran baharu dalam hubungan dua hala Malaysia-Jepun,” menurut Wisma Putra.

Pada pertemuan itu juga, kedua-dua perdana menteri turut membincangkan cara untuk meluaskan lagi kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan dan pelaburan, pertahanan, pendidikan, peralihan tenaga dan pembinaan kapasiti antara Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) dan Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) Wisma Putra.

BACA LAGI: PM mahu tingkat kerjasama ekonomi dengan Jepun sempena lawatan rasmi

“Mereka juga menyentuh mengenai penubuhan kampus cawangan Universiti Tsukuba di Malaysia yang dijangka menerima pendaftaran pertama pelajar pada Sept 2024,” tambah Wisma Putra.

Jepun merupakan antara sumber utama pelaburan langsung asing (FDI) bagi Malaysia dari segi projek pembuatan yang dilaksanakan sejak 1980-an.

Sehingga Jun 2023 sebanyak 2,778 projek pembuatan telah dilaksanakan dengan jumlah pelaburan bernilai RM91.89 bilion (AS$27.43 bilion).

“Malaysia yakin komitmen yang diperbaharu itu akan membawa kepada kerjasama yang lebih erat dan manfaat yang lebih besar bagi kedua-dua negara,” jelas kenyataan itu lagi.

Related Articles

Back to top button