ekonomi

Cukai LVG hanya untuk barang import nilai rendah, jelas Menteri Komunikasi

Cukai jualan terhadap barang bernilai rendah (LVG) yang dijual secara dalam talian mulai 1 Januari depan hanya melibatkan barangan import yang bernilai RM500 ke bawah.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, cukai 10 peratus yang dikenakan tidak akan memberi kesan kepada barangan jenama tempatan yang dibeli secara dalam talian sekaligus meningkatkan data saingan produk-produk tempatan.

“Apa yang penting untuk dijelaskan, ia hanya terpakai bagi produk import yang dijual secara dalam talian di Malaysia. Produk yang dihasilkan di dalam negara tidak terkesan. Jadi, saya harap ini dapat kurangkan salah faham dalam kalangan masyarakat tentang cukai tersebut,” jelasnya.

Fahmi ditemui pemberita selepas merasmikan satu program di Dataran Sri Angkasa Jaya, di Kuala Lumpur semalam.

BACA LAGI: Kerajaan Selangor pelawa usahawan pohon skim Go Digital Hijrah

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mentakrifkan LVG sebagai semua barangan tidak termasuk rokok, produk tembakau, minuman keras yang memabukkan, rokok elektronik, dan penyediaan sejenis yang digunakan untuk merokok yang dijual pada harga tidak melebihi RM500, dan dibawa masuk ke Malaysia melalui jalan darat, laut atau udara.

Mereka yang menjual LVG di platform dalam talian atau mengendalikan pasaran dalam talian untuk penjualan dan pembelian LVG mesti mendaftar dengan JKDM jika jumlah nilai jualan LVG yang dibawa masuk ke Malaysia melebihi RM500,000 dalam tempoh 12 bulan.

Pelaksanaan cukai tersebut pertama kali dibangkitkan dalam Belanjawan 2022 dan sepatutnya mula dilaksanakan pada April tahun ini.

Bagaimanapun kerajaan telah menunda pelaksanannya dengan terpakai untuk produk-produk yang diimport dari luar negara bernilai RM500 ke bawah.

“Saya harap ini dapat mengurangkan salah faham dalam kalangan masyarakat tentang cukai tersebut.

“Kita akan pantau untuk pastikan adakah rakyat terutama penjual dan pembeli yang laksanakan transaksi dalam talian benar-benar faham mengapa ini dilaksanakan dan apa kategori produk yang terkesan,” tambahnya sambil menyarankan orang ramai merujuk laman sesawang rasmi Kastam untuk maklumat lebih terperinci.

Related Articles

Back to top button