Semasa

MOT bakal perkenal perkhidmatan van transit, perkasa kesalinghubungan pengangkutan awam

Perkhidmatan van transit atas permintaan (DRT) bakal diperkenal di Lembah Klang sebagai pengangkutan alternatif.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, langkah itu merupakan sebahagian usaha memperkasakan kesalinghubungan pengangkutan awam di kawasan batuan pertama dan terakhir yang kurang mendapat akses kepada perkhidmatan bas awam.

Beliau berkata sebahagian peruntukan RM50 juta bagi memperkasakan perkhidmatan pengangkutan awam di bawah Belanjawan 2024 akan digunakan untuk membeli van dan pengoperasiannya akan diselia oleh Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan perincian mengenai pelaksanaan inisiatif itu akan diumumkan tidak lama lagi.

BACA LAGI: Pengangkutan bas di Lembah Klang akan diintegrasikan

“Van ini sebagai usaha menyelesaikan isu pengguna batuan pertama dan batuan terakhir… kita faham tak semua kawasan perumahan ada laluan bas.

“Konsepnya seperti e-hailing. Perkhidmatan itu tiada laluan khas, namun kita akan tempatkan di kawasan yang strategik,” katanya.

Ahli Parlimen Seremban itu berkata begitu dalam satu sidang media selepas merasmikan Konvensyen Tahunan Negeri DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Ahad.

Mengulas lanjut mengenai inisiatif itu, MOT jelasnya berhasrat agar Prasarana menjalinkan kerjasama dengan beberapa syarikat yang menawarkan perkhidmatan DRT untuk memperluaskan perkhidmatan berkenaan.

Related Articles

Back to top button