PM Anwar cadang empat perkara untuk perkasa masyarakat rantau ASEAN
Empat bidang kerjasama bagi memperluas dan memperdalamkan kolaborasi dalam ASEAN dicadang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memperkasa rakyat di rantau itu untuk menangani cabaran masa depan.
Bercakap pada Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Jepun di Tokyo pada Ahad, beliau menegaskan empat bidang itu ialah Kesihatan Awam, Pengawalan Iklim, Pengurusan Bencana dan pertukaran Rakyat dengan Rakyat.
Tambahnya, belajar daripada pandemik COVID-19, ASEAN dan Jepun mesti terus berwaspada terhadap krisis kesihatan masa hadapan.
Justeru, ketika rantau ini bergerak ke arah mengoperasikan Pusat ASEAN untuk Kecemasan Kesihatan Awam dan Penyakit Memuncul beliau berkata Malaysia mencadangkan agar Negara Anggota ASEAN dan Jepun menempatkan penyelidik di pusat itu.
“Kita harus mengumpulkan penyelidik daripada pelbagai latar belakang, pengalaman dan pengetahuan, bagi membentuk satu pasukan yang boleh membantu menangani cabaran kesihatan masa hadapan dengan lebih baik,” katanya
Menyentuh mengenai pengawalan iklim, Perdana Menteri berkata ASEAN dan Jepun harus terus bekerjasama rapat, untuk memajukan strategi mitigasi dan penyesuaian serantau dan nasional.
Rantau ini jelasnya telah menyaksikan peningkatan dalam kejadian cuaca ekstrem, daripada kemarau hingga banjir dan tanah runtuh, yang memerlukan tindakan daripada bidang ketiganya iaitu – pengurusan bencana.
“Melambatkan perkara ini akan memburukkan lagi kesan perubahan iklim yang tidak dapat dipulihkan semula, satu realiti yang telah pun dialami oleh sesetengah pihak,” tambahnya.
BACA LAGI: Anwar, Kishida gesa reformasi PBB selari realiti geopolitik abad ke-21
Perdana Menteri turut menggesa ASEAN dan Jepun mengambil kira keputusan penting COP28, terutamanya mengenai pengiraan stok global, matlamat global untuk adaptasi dan dana kerugian dan kerosakan.
“Saya mengalu-alukan komitmen awal Perdana Menteri Kishida sebanyak AS$10 juta untuk perkara itu dan saya menggalakkan Jepun untuk melakukan lebih lagi dalam membantu negara membangun dengan peralihan tenaga secara adil, teratur dan saksama,” katanya.
Sidang kemuncak peringatan itu dipengerusikan bersama Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida, selaku tuan rumah dan Presiden Indonesia Joko Widodo.