Semasa

Razarudin harap kes kematian Muhammad Zaharif jadi iktibar untuk anggota lain

Keputusan pantas Pejabat Peguam Negara untuk mendakwa seorang pegawai kanan polis yang terbabit kes langgar hingga menyebabkan kematian seorang pelajar di Ipoh Perak disambut baik Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Razarudin Husain.

Dipetik laporan media Razarudin berkata, keputusan itu menunjukkan bahawa siasatan yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kes itu adalah telus.

“Keputusan ini adalah kebijaksanaan Jabatan Peguam Negara dalam membuat penilaian bersandarkan kepada siasatan yang dilakukan pegawai penyiasat.

“Kes ini dikendalikan oleh Ketua Polis Negeri dan Ketua Polis Daerah, Ipoh bersama pasukan siasatan dengan baik dan berkredibiliti,” katanya.

BACA LAGI: Pegawai polis sebabkan kematian calon SPM didakwa dibawah Seksyen 302 hari ini

Pejabat Peguam Negara dalam satu kenyataan memaklumkan, tertuduh berusia 44 tahun berpangkat Deputi Superintendan akan dituduh atas kesalahan membunuh Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Suspek akan dituduh secara tentatif di Mahkamah Majistret Ipoh esok, sebelum mahkamah sama menetapkan tarikh untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi bagi tujuan perbicaraan.

Sementara itu Razarudin berharap kes ini akan menjadi pengajaran buat semua warga polis agar tidak mengambil kesempatan di sebalik lencana yang dipakai mereka sehingga boleh mencemarkan nama baik pasukan.

Related Articles

Back to top button