Semasa

1.6 juta individu dijangka terlibat Banci Pertanian 2024

Banci Pertanian 2024 yang bakal dilaksanakan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bermula Julai depan dijangka akan membabitkan 1.6 juta individu terlibat dalam sektor pertanian.

Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, jumlah itu berdasarkan dapatan yang diperoleh setakat ini yang melibatkan kumpulan petani, pemegang kecil serta pertubuhan syarikat-syarikat besar yang berkaitan dengan pertanian.

DOSM jelasnya telahpun melaksanakan sesi libat urus dan interaksi awal termasuk menyediakan soal selidik kepada 200 agensi peringkat Persekutuan dan lebih 1,000 agensi peringkat daerah.

“Selepas melaksanakan sesi libat urus ini, kita telah mengadakan pengambilan data base yang ada di agensi-agensi berkenaan, semua data ini sedang melalui proses integrasi.

“Peringkat awal ini, kita dapati banyak jurang dan ada data-data yang tidak konsisten, jadi untuk mengharmonikannya, kita adakan permukiman bancian pertanian di setiap 156 daerah,” jelasnya.

Dr Mohd Uzir berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Penghijauan Malaysia, Banci Pertanian 2024 di Institut Latihan Statistik Malaysia dekat Sungkai, Perak pada Ahad.

BACA LAGI: Banci Pertanian 2024 bakal rungkai masalah sektor tani, tangani isu keterjaminan makanan

Sementara itu beliau berkata, banci berskala besar ini dilaksanakan meliputi bancian ke atas isi rumah dan pertubuhan perniagaan yang terlibat dalam aktiviti pertanian iaitu tanaman makanan dan komoditi, ternakan, perikanan dan akuakultur serta pembalakan dan perhutanan.

Justeru tambahnya, data-data yang diperolehi kelak akan digunakan untuk perancangan masa hadapan termasuk penggunaan teknologi, isu-isu modenisasi dalam sektor pertanian dan penyaluran bantuan kewangan.

Sebagai rekod,kali terakhir Malaysia menjalankan Banci Pertanian adalah pada 2005 iaitu hampir 20 tahun.

Pelaksanaan Banci Pertanian pada 2024 adalah sejajar dengan resolusi Food and Agriculture Organisation (FAO), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang mengesyorkan semua negara melaksanakan Banci Pertanian dengan kekerapan sekali dalam tempoh 10 tahun.

Related Articles

Back to top button