KKM laksana 5 strategi kekang penularan COVID-19
Kementerian Kesihatan (KKM) akan melaksana lima strategi utama di bawah Pelan Pengurusan COVID-19 sebagai usaha mengekang peningkatan mendadak kes COVID-19.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata strategi pertama adalah dengan melakukan pengesanan awal kes COVID-19 dan varian SARS-CoV-2.
Bagi strategi kedua jelasnya, KKM akan memperkasa komuniti melalui amalan TRIIS (Test, Report, Isolate, Inform, dan Seek) dan strategi ketiga adalah pemantauan fasiliti kesihatan, pengurusan dan kawalan kes COVID-19 terutamanya untuk melindungi golongan berisiko tinggi.
“Selain itu strategi keempat, pemerkasaan komuniti melalui komunikasi risiko yang berkesan dan strategi kelima, pendigitalan sistem kesihatan dalam pengurusan pandemik melalui aplikasi MySejahtera,” katanya pada satu siang media di Putrajaya pada petang Isnin.
Sejumlah 20,696 kes COVID-19 dilaporkan di seluruh negara antara tempoh seminggu bermula 10 hingga 16 Disember lalu.
KKM bagaimanapun memaklumkan, peningkatan itu seiring trend global pada setiap hujung tahun dan majoriti kes mengalami gejala ringan serta tidak memerlukan rawatan hospital.
BACA LAGI: Selangor tubuh semula jawatankuasa khas COVID-19 jika berlaku peningkatan kes
Sementara itu, Dr Dzulkefly menyarankan rakyat mengambil langkah kawalan dengan terus mengambil berat hal penjagaan kesihatan termasuk mengamalkan pemakaian pelitup muka di kawasan awam yang tertutup.
“Pemakaian pelitup muka adalah amat digalakkan terutama mereka yang mempunyai komorbiditi. Elakkan juga kawasan yang sesak, sempit dan sembang dengan jarak yang dekat. Amalkan Wash, Wear dan Warn.
“Bagi yang bergejala, digalakkan melakukan penilaian kendiri tahap kesihatan serta dinasihatkan tidak hadir ke mana-mana kawasan yang sesak dan menjadi tumpuan ramai,” katanya.