Semasa

Isu beras makin pulih, kerajaan terus usaha tingkat bekalan – Mohamad Sabu

Masalah gangguan bekalan beras putih tempatan yang sebelum ini sering dibangkitkan telah mulai semakin mereda, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

Jelasnya, masalah kekurangan bekalan beras berjaya diatasi hasil tuaian padi hujung tahun oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

Mengakui beras tempatan dalam negara masih belum stabil sepenuhnya, susulan permintaan yang kekal tinggi dalam kalangan pengguna, kementerian jelasnya akan terus berusaha menggandakan bekalan dengan MADA juga sedang dalam proses penanaman semula padi, bagi bekalan tahun hadapan.

“Masih ada (masalah kekurangan beras) tetapi dia reda dan ia masih lagi sedang diusahakan untuk dicukupkan, yang baru tuai sekarang ni sedang dalam proses pengilangan jadi dia baru reda.

“Beras kita hanya baru 65 peratus (kadar sara diri) jadi kita tak cukup 35 peratus, beras tempatan ini sekarang menjadi rebutan sebab harga beras import mahal,” katanya.

Mohamad berkata begitu kepada pemberita selepas mengadakan Lawatan Kerja ke Kebun Komuniti AU2 Taman Keramat, Kuala Lumpur pada Isnin.

Sementara itu, Mohamad turut menggalakan komuniti di bandar-bandar besar untuk terlibat dalam usaha keterjaminan makanan melalui pembukaan kebun komuniti di kawasan lapang yang sesuai.

Ia jelasnya boleh boleh dimanfaatkan dengan penanaman tanaman kontan seperti cili, serai, ulam-ulaman, yang sekali gus mampu memberikan manfaat kepada komuniti setempat.

“Kerajaan di bawah Jabatan Perdana Menteri telah memperuntukkan sebanyak RM1 bilion untuk projek pembangunan komuniti, ia untuk projek komuniti seperti ini bukan hanya pertanian, apa-apa sahaja yang lain dalam bentuk komuniti ada peruntukan.

“Tetapi, (saya sarankan) mohon awal, sebab ia dah boleh dibelanjakan pada bulan Januari nanti,” katanya yang turut meminta kawasan yang ingin dibangunkan sebagai kebun komuniti terlebih dahulu sesuai dan mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan, bagi mengelakkan sebarang gangguan kepada infrastruktur sedia ada.

BACA LAGI: KPKM terus fokus tingkat pengeluaran padi negara

Sebagai rekod, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2024, mengumumkan peruntukan RM1 bilion di bawah Dana Komuniti MADANI bagi mendukung usaha memartabatkan ekonomi komuniti.

Menerusi inisiatif itu, setiap kampung, desa, rumah panjang mahupun Projek Perumahan Rakyat (PPR), akan diberikan dana maksimum RM100,000 untuk mulakan projek ekonomi seperti kraf tangan atau hidroponik.

Related Articles

Back to top button