ekonomi

Lawatan PM Anwar ke Jepun tarik potensi pelaburan baharu bernilai RM6.65 bilion

Lawatan kerja rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jepun telah berjaya menarik potensi pelaburan bernilai RM6.56 bilion untuk Malaysia.

Bercakap kepada pemberita sempena mengakhiri lawatan sempena sidang kemuncak peringatan ASEAN-Jepun pada Isnin berkata, ia adalah tambahan kepada potensi pelaburan bernilai RM23 bilion semasa lawatan delegasi Malaysia ke Jepun sebelum ini pada Jun.

“Lawatan ke Jepun berjaya dan membanggakan, berjaya menarik potensi pelaburan bernilai RM6.56 bilion,” katanya

Dengan kejayaan itu menjadikan potensi pelaburan kumulatif daripada lawatan ke negara matahari terbit itu pada tahun ini sahaja berjumlah RM29.56 bilion.

BACA LAGI: Malaysia – Jepun tingkat kerjasama strategik dalam lima bidang utama

Sementara itu tambahnya, pertemuan beliau dengan pelbagai pihak di Jepun termasuk rakan sejawatannya Fumio Kishida jelas menunjukkan bahawa hubungan Malaysia-Jepun kini menyaksikan anjakan baharu dari segi kerjasama pelaburan, perdagangan, pendidikan dan teknologi.

Tiga syarikat korporat Jepun Rohm Wako, NEC Co Ltd dan Mitsui & Co yang mempunyai pelaburan di Malaysia juga telah menunjukkan kesediaan untuk menambah pelaburan semasa pertemuan bersemuka pada Sabtu lalu.

Terdahulu, Anwar berkesempatan mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli perniagaan Jepun yang berlangsung di The Prince Park Tower Tokyo pada Sabtu.

Pertemuan ini antara lain bertujuan untuk meyakinkan pelabur sedia ada dari negara matahari terbit itu untuk terus meningkatkan pelaburan di Malaysia.

Perdana Menteri kemudiannya menyertai Perbincangan Meja Bulat bersama 25 kapten industri di Jepun, yang terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk bidang pembuatan, perkhidmatan dan perdagangan.

Related Articles

Back to top button