Mahkamah

Anwar dapat perintah injunksi inter-parte, halang Sanusi ulang, terbit semula fitnah

Datuk Seri Anwar Ibrahim memperoleh perintah injunksi inter-parte (dua belah pihak) bagi menghalang Pengarah pilihan raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dari mengulangi dan menerbitkan semula kenyataan didakwa memfitnahnya.

Peguam Datuk S N Nair yang mewakili Anwar berkata, Hakim Mahazan Mat Taib membenarkan permohonan inter-parte injunksi dipohon Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu pada prosiding yang dijalankan secara dalam talian pada Selasa di Mahkamah Tinggi Alor Setar.

“Perintah injunksi itu bagi menghalang defendan (Muhammad Sanusi), kakitangan atau ejennya daripada mengulangi atau menerbitkan kenyataan-kenyataan serupa yang mempunyai kecenderungan untuk menggambarkan plaintif (Anwar) sama ada secara langsung atau dengan sindiran dalam mana-mana saluran media sosial defendan, laman web dan mana-mana platform lain sehingga pelupusan kes saman,” kata Nair dipetik.

Beliau berkata, Muhammad Sanusi juga dilarang mengeluarkan kenyataan serupa atau yang mempunyai kesan sama dalam apa jua cara, bentuk atau lain-lain yang mempunyai kecenderungan untuk menggambarkan Anwar sama ada secara langsung atau sindiran, seperti dalam pernyataan tuntutan anak guamnya.

Pada prosiding semalam, mahkamah turut menetapkan 19 Februari 2024 untuk pengurusan kes di hadapan pendaftar menerusi e-Review.

BACA LAGI: Amirudin fail saman fitnah terhadap Sanusi

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Anwar mendakwa Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah memberikan ucapan berbaur fitnah mengaitkannya dengan perlakuan tidak bermoral dalam satu kempen ceramah “Jelajah PN Best Tambun”. sebagai menyokong calon PN bagi Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, dengan ratusan pengunjung menghadiri ceramah itu.

Fitnah itu antaranya membawa maksud plaintif mendapat pengampunan diraja melalui penipuan dan kekal tidak diampunkan serta telah memperdaya Yang di-Pertuan Agong, seorang pembohong, tidak boleh dipercayai, tidak beretika dan mengkhianati mandat rakyat.

Kenyataan itu dibuat dengan berniat jahat bertujuan untuk menghasut orang ramai dan menimbulkan kebencian peribadi terhadapnya dan PH semasa tempoh berkempen menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November tahun lepas.

Ucapan dalam ceramah itu turut diterbitkan atau menyebabkan penerbitan semula dan disiarkan secara siaran langsung dalam aplikasi Facebook bawah nama ‘Faizal Azumu’ yang mendapat tontonan lebih 88,000 kali, 531 reaksi, 58 kali perkongsian dan 384 komen, setakat tarikh pemfailan saman itu.

Sehubungan itu, plaintif memohon ganti rugi am, teruk serta teladan, selain perintah untuk menghalang defendan daripada terus mengungkap, mengarang, menerbitkan atau menerbitkan semula kenyataan serupa terhadap plaintif, serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Muhammad Sanusi dalam pernyataan pembelaannya sebelum ini dilapor berkata, bahawa beliau tidak mempunyai apa-apa niat jahat dan memfitnah Anwar sebaliknya mengkritik Ahli Parlimen Tambun itu bagi tujuan kempen PRU15.

Related Articles

Back to top button