Politik

PN sedang karam, bertelagah isu ‘tebuk atap’?

Usaha ‘tebuk atap’ yang dihasratkan oleh Perikatan Nasional (PN) nampaknya sudah menemui jalan buntu.

Selain terdapat lima Ahli Parlimen PN yang telah mengisytiharkan memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, terdapat beberapa lagi Ahli Parlimen gabungan itu bakal menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mendedahkan beliau pernah menyuarakan rasa tidak puas hati kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengenai usaha menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.

Syed Abu Hussin Hafiz mendakwa, beliau kesal kerana usaha berkenaan menyebabkan Ahli Parlimen pembangkang tidak mendapat peruntukan sekali gus tidak dapat membela kawasan yang diwakili.

Tidak cukup dengan itu, PN kini berdepan masalah dalaman di mana pemimpin utama gabungan itu kini tidak lagi sehaluan.

Sumber dalaman PN mendedahkan ada usaha dari Pengerusi PN, Tan Sri Mahiaddin Yassin untuk bertemu dengan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, namun permintaannya ditolak.

“Mahiaddin cuba nak jumpa Hadi tapi ditolak dengan beberapa alasan. Macam ada masalah antara Mahiaddin dan Bersatu.

“Masalah ini dah lama pemimpin Bersatu tahu sebab Mahiaddin tidak puas hati bila Pas lantik Mahathir jadi penasihat untuk empat negeri yang mereka ketuai.

“Hadi juga ada tidak puashati dengan beberapa tindakan Bersatu di beberapa negeri,” kata sumber yang enggan mendedahkan nama.

Selain itu terdapat beberapa pemimpin Bersatu yang kecewa dengan tindak tanduk Pas mutakhir ini yang dilihat mahu menguasai PN.

Tindakan beberapa pemimpin Pas yang menobatkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai bakal Perdana Menteri juga mengecewakan pemimpin Bersatu.

Baru-baru ini, Anwar menepis dakwaan wujudnya usaha untuk menjatuhkan kerajaan pimpinannya.

Beliau menegaskan kerjasama antara parti dalam kerajaan adalah kukuh, justeru sukar untuk mana-mana pihak untuk ‘menebuk atap’.

Baca lagi:

Related Articles

Back to top button