Mahkamah

‘Ustazah’ Mastura diperintah fail pernyataan pembelaan kes saman fitnah

Ahli Parlimen Kepala Batas, Siti Mastura Muhammad diarahkan Mahkamah Tinggi untuk memfailkan pernyataan pembelaan dalam kes saman dikemuka tiga pemimpin DAP terhadapnya.

Saman itu difailkan secara berasingan oleh Pengerusi DAP Lim Guan Eng, bapanya Tan Sri Lim Kit Siang serta Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim selaku plaintif pada 27 Nov lepas berhubung ucapan pemimpin Pas itu dalam ceramah Majlis Himpunan Muslimat dan Ameerah Pilihan Raya Kecil Kemaman yang didakwa memfitnah.

Peguam Datuk S.N Nair, yang mewakili ketiga-tiga pemimpin, berkata mahkamah turut mengarahkan plaintif memfailkan jawapan kepada pembelaan itu sebelum atau pada 26 Jan 2024.

“Mahkamah menetapkan 9 Feb 2024 untuk pengurusan kes selanjutnya,” kata beliau dipetik laporan media.

BACA LAGI: Fadhlina tuntut Ahli Parlimen Jasin, Harakah Daily minta maaf kerana didakwa memfitnah

Menerusi pernyataan tuntutan, ketiga-tiga plaintif mendakwa Siti Mastura ketika ceramah dihadapan penyokongnya pada 4 Nov lepas telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka mempunyai pertalian dengan Parti Komunis dan ketuanya Chin Peng serta bekas Perdana Menteri pertama Singapura, mendiang Lee Kuan Yew.

Mereka mendakwa, defendan telah membuat beberapa kenyataan yang merujuk secara langsung dan tidak langsung kepada ketiga-tiga plaintif iaitu mereka mempunyai hubungan dengan parti komunis, menyokong serta mengamalkan selain menyebarkan ideologi dan falsafah komunisme dalam negara.

Mereka menegaskan bahawa dakwaan defendan adalah tidak berasas, palsu serta berniat jahat kerana sengaja mengaitkan mereka dengan parti komunis dan Chin Peng.

“Tindakan defendan jelas sekali didorongi dengan tipu muslihat untuk mendapatkan publisiti bagi menaikkan imej parti politik defendan,” menurut ketiga-tiga plaintif dalam pernyataan tuntutan.

Oleh itu, mereka menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan serta perintah injunksi untuk menghalang defendan daripada terus menerbitkan kenyataan sama.

Related Articles

Back to top button