Semasa

Altimet janji pantau pokok reput, elak insiden ragut nyawa berulang

Pemantauan dan penyelenggaraan akan dilakukan ke atas pokok-pokok mati dan reput di sekitar kawasan Jalan Bukit Belacan, Kampung Lembah Jaya Utara bagi mengelak tragedi meragut nyawa orang awam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman mengambil maklum mengenai aduan orang ramai yang mahu pemantauan dilakukan keatas keadaan pokok di sekitar Jalan Bukit Belacan di Ampang.

Dipetik laporan media, Syed Ahmad atau lebih dikenali sebagai Altimet berkata selain pemantauan, penyelenggaraan akan dilakukan ke atas pokok-pokok mati dan reput di kawasan itu bagi mengelak tragedi yang meragut nyawa orang awam baru-baru ini berulang.

“Kami sudah kenal pasti beberapa pokok yang mati dan reput di kawasan ini supaya tindakan lanjut dapat diambil,” jelasnya sambil berkata, pemantauan akan dijalankan dengan kerjasama penduduk setempat.

Seorang pemandu kereta dan penunggang motosikal maut selepas kenderaan mereka dihempap pokok tumbang di Jalan Utama Kampung Lembah Jaya Utara pada Rabu.

Dalam kejadian pukul 3.51 petang itu, pemandu kereta disahkan maut di lokasi kejadian manakala penunggang motosikal meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Ampang

“Apa yang berlaku ini adalah insiden yang tidak dijangka kerana ketika kejadian tidak hujan. Ketika ini, kita banyak fokus pada banjir tetapi sebaliknya ini pula yang terjadi,” tambahnya.

BACA LAGI: PBT digesa atasi kelemahan dalam perancangan bandar

Altimet dalam pada itu berkata, pihaknya akan meneliti faktor yang menyebabkan aduan penduduk setempat yang kebiasannya dibuat kepada ahli majlis atau disalurkan terus kepada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) lambat diambil tindakan

“Kita dalam proses kenal pasti sama ada aduan itu tidak sampai kepada Ahli Majlis, MPAJ atau aduan itu tidak ditangani. Perkara ini termasuk melihat sama ada pokok di kawasan itu terletak dalam bidang kuasa MPAJ atau Jabatan Perhutanan Negeri,” katanya.

Related Articles

Back to top button