Bintang muda snuker negara maut dalam kemalangan
Atlet muda snuker, Muhammad Afiq Abdullah dilapor meninggal dunia dalam satu kemalangan di Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) awal pagi Rabu.
Berita sedih itu dikongsikan Presiden Persekutuan Snuker dan Billiards Malaysia (MSBF) Melvin Chia dalam satu kenyataan.
“Saya dikejutkan dengan berita sedih menerima panggilan daripada Mustafa, Pengarah Kejohanan B-21 Kejohanan Snuker Junior (sedang berlangsung bermula 18-23 Disember 2023 di Seremban).
“Afiq, bakat muda yang banyak menyumbangkan kepada sukan ini sejak berusia sembilan tahun, namun kini tiada lagi.
“Yang tinggal hanya banyak kenangan manis dan pencapaian peribadi yang memukau sejak dia menjejakkan kaki ke sukan ini. Malangnya, bintang kecil yang bersinar ini tidak dapat bersinar lagi, ia hilang, hilang selama-lamanya,” katanya.
Difahamkan dalam kejadian jam 2.39 pagi itu, kenderaan Honda City yang dinaiki lima penumpang termasuk Afiq ,13 tahun merempuh longkang di tepi jalan.
Afiq dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Sementara itu jelas Melvin, Allahyarham Afiq telah menunjukkan potensi untuk dimasukkan sebagai atlet junior negara ke dalam program pembangunan baharu yang telah dibincangkan dengan MSN (Majlis Sukan Negara) minggu lepas.
“Saya juga bercadang untuk memasukkannya ke sekolah berasrama penuh di Bukit Jalil bersama beberapa lagi atlet muda lain untuk memulakan program pembangunan baharu mulai tahun depan dan ibu bapanya juga telah bersetuju dengan cadangan itu.
“Satu kehilangan besar buat sukan ini, MSBF dan juga negara,” tambah Melvin lagi.