Semasa

Kerajaan Perpaduan komited perangi jenayah dalam talian – Azalina

Kerajaan bercadangan untuk menjalankan kajian untuk perkukuh perundangan bagi menangani jenayah dalam talian secara komprehensif.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dalam kenyataan pada Rabu berkata, kajian itu bagi mendapatkan satu keputusan dasar berhubung pindaan kepada perundangan sedia ada dan penggubalan undang-undang baharu mengenai prosedur dan kuasa bagi menangani aktiviti jenayah tersebut.

Tambahnya, usaha yang termasuk kajian perbandingan dan konsultasi awam itu akan dilaksanakan selama tiga bulan bermula bulan depan dengan kerjasama ahli akademik di universiti tempatan.

“Inisiatif ini mencerminkan usaha berterusan dan komitmen Kerajaan Perpaduan untuk terus menangani isu jenayah dalam talian bagi memastikan kewujudan persekitaran digital yang selamat untuk rakyat,” katanya.

BACA LAGI: Bekas ketua hakim akan pengerusikan jawatan kuasa khas undang-undang syariah

Azalina turut memberitahu, langkah itu hasil mesyuarat antara Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), yang dipengerusikan beliau semalam.

“Sebagai tindak balas kepada cabaran yang semakin meningkat yang disebabkan oleh ancaman jenayah dalam talian, Kerajaan Perpaduan menggiatkan usaha dan komitmennya untuk memerangi jenayah dalam talian melalui reformasi perundangan selaras dengan peredaran masa dan perkembangan teknologi.

“Mesyuarat ini bertujuan untuk meneliti cabaran dan undang-undang sedia ada di bawah pelbagai kementerian dan/atau agensi yang berhubungan dengan ancaman jenayah dalam talian dan mengenal pasti langkah perundangan yang komprehensif yang boleh membanteras jenayah tersebut,” jelasnya lagi.

Menurut kenyataan itu, lebih RM173 juta jumlah kerugian dilaporkan setakat 30 Nov lepas dengan 8,213 kertas siasatan dibuka NFCC, PDRM, MCMC dan BNM melibatkan pelbagai peruntukan termasuk melibatkan 529 akaun yang dibekukan dengan nilai lebih RM65.9 juta.

Related Articles

Back to top button