Global

Langkah berani PM Anwar mula dapat sorotan media, pempengaruh antarabangsa

Langkah tegas Kerajaan Perpaduan menyekat syarikat perkapalan berpangkalan di Israel, ZIM untuk berlabuh di mana-mana pelabuhan dalam negara mendapat perhatian dunia.

Beberapa media antarabangsa antaranya Al-Arabiya English, Al-Jazeera English dan CNN International menyiarkan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu dalam laporan mereka .

Rata-rata netizen di ruangan komen memuji langkah yang diambil oleh kerajaan Malaysia dalam usaha menentang perbuatan kejam rejim Zionis terhadap penduduk di wilayah Gaza.

BACA LAGI: Kapal Israel diharamkan berlabuh di Malaysia serta-merta – PM Anwar

Anwar ketika mengumumkan langkah itu semalam berkata, ia sebagai tindak balas terhadap perbuatan rejim Israel yang mengetepikan prinsip asas kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa menerusi kekejaman berterusan terhadap warga Palestin.

Beliau turut menegaskan Malaysia juga mengenakan larangan kepada mana-mana kapal yang dalam perjalanan menuju ke Israel daripada memuatkan kargo di pelabuhan Malaysia dan mana-mana kapal yang menggunakan bendera Israel tidak dibenarkan berlabuh dalam negara ini.

Keputusan perdana menteri itu turut mendapat sorotan pempengaruh media sosial antarabangsa, Khaled A. Beydoun di Instagram.

Khaled juga seorang profesor undang-undang dan penulis berkata, ia langkah besar dan berani kerajaan Malaysia yang diketuai oleh Anwar.

“Malaysia. Anda adalah contoh terbaik tentang apa yang boleh dilakukan. Memberi inspirasi!” kata lobeatfirstbite6.

“Mari kita ucapkan terima kasih kepada perdana menteri Malaysia kerana menentang pembunuhan beramai-ramai,” komen thinkernation pula.

Related Articles

Back to top button