Sukan

Liverpool mara ke separuh akhir Piala Liga Inggeris selepas belasah West Ham United 5-1

Liverpool mara ke separuh akhir Piala Liga Inggeris selepas membelasah West Ham United 5-1 di laman sendiri awal pagi tadi.

Curtis Jones meledak dua gol manakala Dominik Szoboszlai, Cody Gakpo dan bintang utama Mohamed Salah, yang hanya dimasukkan selepas sejam perlawanan, turut menjaringkan gol buat pasukan kendalian Jurgen Klopp itu.

“Persembahan, jaringan, keputusan dan permainan individu bergabung untuk menjadikan satu pasukan yang cemerlang di tengah padang,” kata Klopp kepada Sky Sports.

“Pemain menikmatinya, mereka bekerja keras untuk menuai hasilnya dengan penuh detik menggembirakan dalam bola sepak. Seronok untuk melihatnya.”

Szoboszlai membuka tirai jaringan pada minit ke-28 dengan rembatan kencang dari jarak 20 meter yang menerjah ke penjuru gol.

Jones menggandakan kelebihan Liverpool dengan gol pertamanya beberapa minit selepas babak kedua apabila meluru menyambut hantaran Darwin Nunez dengan tendangan voli yang melepasi celah kelangkang penjaga gol Alphonse Areola.

Gakpo meledak dari penjuru kotak penalti sebelum Jarrod Bowen membalas satu gol buat The Hammers pada minit ke-77.

Salah kemudian menyumbat gol pada minit ke-82 sebelum Jones menyempurnakan gol keduanya dua minit kemudian, melepasi benteng West Ham dengan mudah yang menyebabkan pengurus David Moyes kelihatan merah padam.

Chelsea, Fulham dan kelab Liga Kejuaraan, Middlesbrough turut layak ke separuh akhir.

Separuh akhir pertama akan dilangsungkan pada minggu 8 Januari manakala separuh akhir kedua pada 22 Januari dengan perlawanan akhir pada 25 Februari di Stadium Wembley. – Reuters

Baca juga:

Related Articles

Back to top button