Nasional

Tambang percuma perkhidmatan pengangkutan Prasarana untuk golongan OKU – Anthony

Pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) bakal menikmati tambang percuma bagi semua perkhidmatan pengangkutan awam kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mulai 1 Februari tahun depan, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Beliau berkata, inisiatif itu melibatkan semua perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT), monorel dan bas Prasarana di sekitar Lembah Klang.

Jelas beliau, Prasarana diberi tempoh sebulan untuk lakukan persiapan dan menyelaras sistem tiket termasuk pemberian kad konsesi khas kepada pengguna OKU.

“Pengguna hanya perlu mengemukakan kad OKU yang dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan memohon kad berkenaan.

“Prasarana bersetuju untuk memberikan tambang percuma kepada OKU, walaupun memberi impak kewangan kepada Prasarana.

“Kemudahan ini sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka,” kata Loke dalam sidang media di Stesen MRT Stadium Kajang, hari ini.

Loke berkata, inisiatif itu adalah penambahbaikan berbanding pas konsesi sebelum ini yang menawarkan diskaun 50 peratus bagi tambang perjalanan untuk penumpang OKU.

Baca lagi:

Related Articles

Back to top button