Nasional

YaPEIM sumbang RM50,000 bantu pengamal media yang memerlukan

Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam (YaPEIM) menyumbang RM50,000 kepada 100 pengamal media yang memerlukan, termasuk yang ditimpa musibah dan masalah kewangan.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, ia adalah inisiatif baharu yang diperkenalkan YaPEIM pada tahun ini bagi membantu wartawan, jurugambar, jurukamera dan bekas pengamal media, yang akan menerima RM500 setiap seorang.

Menurutnya, sumbangan itu disampaikan melalui penyelarasan dengan lima persatuan media, iaitu Kelab Media KL dan Selangor (KLS), Persatuan Jurugambar Media Malaysia (MPPA), Persatuan Wartawan Jenayah (CiJA), Kelab Media Putrajaya dan Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM).

“Saya mengucapkan syabas dan terima kasih kepada YaPEIM yang mengambil inisiatif membantu rakan media kita.

“Sudah tentu ia tidak dapat membantu mereka secara keseluruhan, namun diharap dapat meringankan beban dan memberi motivasi kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penghargaan dan Amal YaPEIM Bersama Media 2023 di Pusat Belia Antarabangsa (IYC) Cheras, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus, pengurusan tertinggi dan petugas dari pelbagai agensi media.

Selain itu, Mohd Na’im berkata, pihaknya sentiasa memandang tinggi usaha pengamal dan organisasi media yang tidak putus-putus menyokong YaPEIM dalam melaporkan berita serta menghebahkan maklumat kepada masyarakat secara seimbang dan adil.

“Terima kasih kepada media yang sentiasa menyebarluaskan fakta kerana jika peranan ini tidak dimainkan media, agensi ini tidak dapat menyampaikan maklumat dan saya berharap, hubungan ini terus diperkukuh,” katanya.

Baca lagi:

Related Articles

Back to top button