Semasa

Banjir temenung Sungai Golok: NRES bakal ubah suai struktur PLSB

Kerajaan Perpaduan sedang meneliti cadangan untuk mengubah suai alur limpah di Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok di Kelantan.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) Nik Nazmi Nik Ahmad dalam satu sidang media selepas menghadiri sesi libat urus berkaitan isu jerebu rentas sempadan di Putrajaya pada Khamis.
berkata, ia bagi mengatasi masalah banjir termenung di kawasan berhampiran.

“Kita faham keluh-kesah penduduk di sana. Kita kena tengok balik sebab dah selesai projek, alur limpah yang dibuat terdahulu kita kena ubah,” katanya ketika mengulas gesaan penduduk supaya kerajaan mengatasi masalah air tersekat di kawasan itu yang berlaku hampir sebulan.

Nik Nazmi sementara itu mengakui banjir itu turut berpunca daripada pelaksanaan projek tebatan banjir berkenaan selain jumlah hujan tinggi pada hujung tahun.

BACA LAGI:Kerajaan Persekutuan bakal bina TAPS, simpan bekalan air mentah untuk LRA Sungai Linggi

Media sebelum ini melaporkan, penduduk di 10 buah kampung termasuk Kampung Kusar, Kampung Padang Licin, Kampung Luar dan Kampung Tasek Bakong berdepan masalah banjir termenung sejak sebulan lalu.

Kerajaan sebelum ini, meluluskan peruntukan RM656 juta bagi PLSB Sungai Golok Fasa 1, membabitkan empat skop utama, iaitu Ban Banjir Sungai Golok (26.2 km), Ban Banjir Sungai Lanchang Lemal (19.84 km), Kuala Jambu Outlet Gate dan Ban Sungai Mentua.

Projek itu bertujuan mengurangkan masalah banjir di kawasan berdekatan Sungai Golok di Tumpat dan sebahagian Pasir Mas, meningkatkan keselamatan dan kedaulatan negara dengan pembinaan infrastruktur tebatan banjir.

Related Articles

Back to top button