Anwar

GLIC: PM Anwar gesa sokong aspirasi negara sebagai destinasi pelaburan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan bahawa Syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berperanan kepada pembangunan serta kesejahteraan rakyat sepertimana digariskan dalan kerangka Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat.

Anwar menerusi hantaran di Facebooknya hari ini berkata, perkara itu diberi penekanan ketika mempengerusikan mesyuarat dengan Ketua-ketua Pegawai Eksekutif GLIC berhubung tanggungjawab bersama kerajaan untuk memacu pertumbuhan ekonomu dan pendapatan rakyat.

Katanya, mandat telah diberikan kepada GLIC bagi meningkatkan pelaburan langsung domestik masing-masing.

“Dengan jumlah saiz aset di bawah pengurusan bernilai RM1.84 trilion, yakni hampir sama dengan saiz keluaran dalam negeri kasar (KDNK) nominal Malaysia pada tahun ini, GLIC di Malaysia berupaya menggerak dan melonjak ekonomi Malaysia ke depan.

“Dalam usaha untuk memacu potensi ekonomi Malaysia, saya juga telah menggariskan bahawa GLIC dan GLC harus menggembleng tenaga untuk menyokong aspirasi negara sebagai destinasi pelaburan dan hab ekonomi Islamik bertaraf dunia, melonjakkan pelaburan di sektor digital dan tenaga boleh baharu, serta menggalak sektor PMKS melebarkan pasaran ke negara-negara serantau,” katanya.

Tambah Perdana Menteri, segala cadangan oleh GLIC telah diterima baik oleh kerajaan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat dan kemajuan ekonomi tempatan.

“Ini termasuklah menambah baik perbelanjaan daripada kutipan zakat korporat, menjalinkan usaha sama dengan sektor swasta bagi membangunkan penginapan pelajar-pelajar serta menggembleng lebih dana untuk pelaburan di syarikat-syarikat tidak tersenarai dalam sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya.

Beliau berkata, dengan diadakan mesyuarat berkala bersama GLIC ini, negara akan melangkah lebih cepat ke arah kemajuan yang mampan dan saksama.

Anwar yang juga Menteri Kewangan atau Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan akan terus memantau pencapaian dan kemajuan inisiatif yang diterajui oleh GLIC bagi memeastikan segala visi tercapai.

Baca juga:

Related Articles

Back to top button