Semasa

PM jamin isu lepasan ISMP bakal diselesaikan

Pentadbiran Kerajaan Perpaduan memberi jaminan akan menyelesaikan isu lepasan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) yang belum mempunyai penempatan di sekolah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi Temu Anwar Dialog Mahasiswa di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada Khamis berkata, kelulusan telah diberikan kepada Kementerian Pendidikan supaya mengisi kekosongan guru pada tahun depan.

“Insya-Allah kita selesaikan… Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dah umumkan bahawa (terdapat) penambahan yang ketara bagi mengisi kekosongan guru pada 2024.

“… yang penting ialah pada tahun 2024, kali pertama ada lonjakan penambahan guru di sekolah menengah di negara kita,” katanya sebagai menjawab soalan mengenai laporan media sebelum ini berkaitan isu sejumlah 4,390 lepasan ISMP dari 2011 hingga 2020 yang belum mendapat panggilan temu duga untuk ditempatkan di sekolah.

BACA LAGI: KPM seru semua pihak kerjasama, kukuh sistem pendidikan negara

Sementara itu, sebagai menyentuh hasrat agar mahasiswa golongan M40 menerima pembiayaan penuh Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang tidak diteruskan beliau berkata, ia berpunca dari hutang negara yang terlalu tinggi.

Bagaimanapun jelasnya, cadangan itu boleh dipertimbang namun ia bergantung kepada kemampuan kewangan negara.

“Insya-Allah saya akan minta (Menteri Pendidikan Tinggi) saudara (Datuk Seri Dr) Zambry (Abdul Kadir) lihat betul-betul dengan PTPTN dan bawa balik kepada Kementerian Kewangan… dan dalam suku tahun pertama, kalau betul kita mampu, saya akan tambah terutama bagi M40 yang memerlukan.

“Jadi saya nak anak-anak faham, insya-Allah saya terima baik cadangan itu dan saya akan teliti… jika ada keupayaan, insya-Allah saya akan lakukan,” katanya.

Related Articles

Back to top button