Semasa

Nik Nazmi ambil tindakan undang-undang susulan tuduhan liar Che’gu Bard

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam menafikan dakwaan rasuah melibatkan rancangan tebatan banjir (RTB) bernilai lebih RM16 bilion.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai Che’gu Bard susulan dakwaan tersebut.

“Saya ingin menafikan kenyataan fitnah yang dikeluarkan oleh Che’gu Bard yang mendakwa terdapat elemen rasuah dalam projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang dikendalikan oleh kementerian saya,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Katanya, fitnah bahawa projek RTB yang mencecah sehingga RM16.6 bilion dan terdapat syarikat serta individu yang langsung tidak dikenali memperoleh komisen sebagai proksi kepada menteri juga adalah tuduhan yang tidak berasas serta berniat jahat.

BACA LAGI: Menteri arah projek rintis Dasar Gaji Progresif dilaksana segera

Pada Rabu, Che’gu Bard mendakwa berlaku rasuah dalam projek RTB yang dakwanya melibatkan syarikat guaman di Klang dan Batang Kali, Selangor.

DIa mendakwa syarikat yang memperoleh projek berkenaan perlu membayar komisen setinggi lapan peratus dan wang itu dimasukkan dari syarikat kepada akaun peguam sebelum diberi kepada individu atau syarikat yang menjadi proksi,

Bagaimanapun jelas Nik Nazmi, tuduhan tidak berasas oleh Che’gu Bard itu hanya menunjukkan dirinya tidak memahami proses perolehan dan peruntukan belanjawan kerajaan.

“Kerajaan ini telah menilai semula cadangan projek tebatan banjir berkeutamaan tinggi untuk memberikan keutamaan kepada kawasan kritikal dengan siling peruntukan pembangunan keseluruhan 33 projek RTB yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kewangan berjumlah RM11.8 bilion, bukan RM16.6 bilion,” katanya.

Malah tegasnya, hampir kesemua projek RTB Kerajaan pada tahun ini masih melalui proses tender dan untuk tahun ini 19 projek telah dikeluarkan surat setuju terima (SST) malah melalui proses perolehan yang telus melibatkan tata kelola MOF serta mesyuarat Lembaga Perolehan yang mana beliau sendiri tidak terlibat.

“Ia bukan kali pertama Che’gu Bard datang dengan tuduhan liar dan tidak berasas.

“Beliau sudah beberapa kali kalah saman kerana terbukti memfitnah. Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan ini,” kata Nik Nazmi.

Related Articles

Back to top button