Dr Zaliha atur pertemuan dengan TARC Education Foundation, selesai isu penduduk Kampung Setia Jaya
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa mengambil maklum isu berkaitan tanah Kampung Setia Jaya yang dibangkitkan penduduk.
Dr Zaliha dalam satu hantaran di laman sosial X berkata, satu perjumpaan telah diadakan bersama wakil penduduk bagi mendengar sendiri perkara yang mahu disampaikan mereka.
“Setelah mendengar dengan teliti dari pihak penduduk, saya akan aturkan perjumpaan dengan TARC Education Foundation sebagai pemilik tanah dalam masa terdekat,” jelasnya.
Perjumpaan bersama TARC Education Foundation itu jelasnya bagi mencari titik tengah untuk menyelesaikan isu itu.
BACA LAGI: Altimet janji pantau pokok reput, elak insiden ragut nyawa berulang
“(Ia) untuk mencari titik tengah bagi menyelesaikan isu ini demi kebajikan dan kesejahteraan penduduk Kampung Setia Jaya. Pada saya, isu ini perlu diselesaikan dengan kadar segera dan tidak lagi dipolitikkan.
“Tindakan mempolitikkan isu ini tidak akan memberikan apa-apa manfaat dan tidak menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk Kampung Setia Jaya,” tambahnya.
Media sebelum ini melaporkan, kira-kira 500 penduduk Kampung Setia Jaya bakal kehilangan penempatan mereka selepas pemilik tanah yang juga sebuah institusi pendidikan tinggi menggunakan saluran mahkamah untuk arahan pengosongan tanah.
Mahkamah memerintahkan agar semua penduduk mengosongkan tanah itu dalam tempoh 18 bulan.