Kerajaan semak semula perjanjian MLFF, pastikan tender diberi ikut proses telus
Kerajaan akan menyemak semula proses pengurusan tender bagi pelaksanaan Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF).
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, proses pemberian tender mesti dijalankan dengan telus selari dengan pendirian kerajaan selama ini terhadap soal urus tadbir dan tatakelola.
“Kita akan melalui proses yang normal. Tidak ada asas untuk menganggap bahawa proses itu akan melalui proses rundingan terus.
“Tidak, kita perlu melalui proses yang betul dan telus kerana kita telah menyatakan dengan jelas,” katanya kepada pemberita di Kota Damansara pada Jumaat.
BACA LAGI: KKR cadangan wajibkan bina lorong khas motosikal di setiap lebuh raya baharu
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi sebelum ini berkata, beberapa kajian akan dilaksanakan bagi memperkenalkan langkah penambahbaikan khususnya berkaitan aspek perundangan dalam pelaksanaan projek itu yang dimeterai oleh kerajaan terdahulu pada 2021.
Kerajaan didakwa telah menandatangani perjanjian pelantikan dengan syarikat itu dan memberikan projek bernilai RM3.46 bilion tanpa berunding dengan syarikat konsesi yang akan membiaya pelaksanaan projek itu
“Kita perlu melihat semula keseluruhan proses itu, sama ada proses itu dipatuhi sepenuhnya,” tambah Anwar.