Sukan

Manchester City raih trofi kelima setelah bergelar juara Piala Dunia Kelab FIFA 2023

Julian Alvarez menyumbat gol paling pantas pernah dijaringkan pada final Piala Dunia Kelab sekali gus membantu Manchester City membenam kelab Brazil, Fluminense 4-0 awal pagi tadi untuk melengkapkan tahun penuh gemilang dengan meraih trofi kelima mereka pada 2023.

Pasukan kendalian Pep Guardiola, yang terlepas khidmat penyerang Erling Haaland kerana cedera pada kejohanan dunia itu, sudah memenangi Piala FA, Liga Perdana Inggeris, Liga Juara-Juara dan Piala Super UEFA tahun ini.

“Untuk menang lima trofi ini – bagi saya, lima piala terbesar yang boleh kami rangkul – adalah luar biasa.

“Ia terlalu sukar untuk menang secara konsisten, jadi untuk berdiri di sini hari ini dengan memenangi lima kejuaraan benar-benar istimewa dan satu pencapaian besar,” kata kapten Kyle Walker.

Alvarez menceriakan penyokong City hanya 40 saat selepas sepak mula. Penjaga gol Fabio berjaya menumbuk keluar percubaan jarak jauh Nathan Ake tetapi Alvarez pantas menyambut bola muntah sebelum mendada bola masuk ke dalam pintu gol.

Nino kemudian menjaringkan gol sendiri pada minit ke-27 apabila dia tertampan masuk rembatan Phil Foden.

Foden memastikan lawan tidak mampu bangkit dengan gol ketiga pada minit ke-72, menyempurnakan hantaran lintang Alvarez.

“Ia satu perlawanan yang luar biasa,” kata Foden kepada FIFA.com. “Pemain kami bukan sahaja mempamerkan kualiti, tetapi jiwa dan keazaman. Saya gembira dengan keputusannya.

“Ia terlalu penting buat kelab ini. Saya terlalu gembira. Ia sesuatu yang besar buat kelab,” katanya.

Alvarez melengkapkan aksi dengan gol kedua peribadi pada minit ke-88 dengan rembatan dari luar kotak penalti.

Kemenangan itu menjadikan Guardiola pengurus pertama mengemudi tiga kelab berbeza memenangi Piala Dunia Kelab, menang bersama Barcelona pada tahun 2009 dan 2011 kemudian Bayern Munich pada 2013.

“Kami berdepan City yang menjadi pasukan terbaik di dunia dalam lima tahun terakhir dan mereka tahu bagaimana untuk menggunakan sepenuhnya peluang yang mereka cipta.

“Mereka sering kali efektif, menjaringkan gol awal dan mereka menghukum kesilapan kami. Kami perlu bangga dengan tahun menakjubkan yang membawa kami ke sini. Ia satu perjalanan mengagumkan dan tiada apa yang perlu dimalukan,” kata pengurus Fluminense, Fernando Diniz kepada TV Globo.

Rodri dianugerah Bola Emas sebagai pemain terbaik kejohanan manakala kapten City, Kyle Walker meraih Bola Perak.

“Saya bangga untuk menjadi sebahagian daripada skuad ini dan sejujurnya ia satu penghormatan untuk bermain di samping pemain ini, saya tidak boleh tuntut lebih lagi daripada mereka,” katanya lagi. – Reuters

Baca lagi:

Related Articles

Back to top button