Pendakwah harus bijak jawab persoalan dengan berhati-hati dan bertanggungjawab – YADIM
Seluruh rakyat Malaysia tidak seharunsya menjadikan isu agama sebagai polemik dan perbalahan politik sehingga mencetuskan ketegangan.
Jurucakap Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) berkata, mana-mana pendakwah yang mempunyai pengaruh serta pengikut harus bijak dan wajib menyampaikan atau menjawab sesuatu persoalan dengan berhati-hati dan penuh bertanggungjawab.
Menurut beliau, YADIM memandang serius kenyataan seorang pendakwah yang melabel pemimpin kanan negara, dipercayai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai sesat apabila merujuk Ashabul Kahfi sebagai beragama Kristian.
“Amat tidak wajar sikap terus menghentam dan menyesatkan mereka yang berbeza pendapat dan pandangan dalam isu-isu khilafiah agama, kerana sikap tersebut akan membantutkan perkembangan ilmu dan daya penyelidikan. Lebih membimbangkan sikap itu akan menyebabkan pergaduhan dan tuduh menuduh sesama umat Islam yang tidak berkesudahan.
“Pemuda-pemuda Kahfi ini adalah sekumpulan pemuda yang mempertahankan akidah suci berhadapan dengan pemerintah yang zalim dan memaksa mereka menganut fahaman syirik.
“Walaupun mereka akan dikenakan tindakan yang keras daripada pemerintah, mereka berani berhadapan kerana keteguhan prinsip mereka,” katanya.
Jelas jurucakap itu, YADIM percaya Kristian yang dimaksudkan Perdana Menteri merujuk kepada golongan Nasara yang mentauhidkan Allah SWT, sebagaimana ajaran Nabi Isa AS, sekali gus selari dengan risalah Rasulullah SAW.
“Ibnu Kathir dalam Al-Bidayah Wa An-Nihayah (2/114) menukilkan pandangan sebahagian ahli tafsir bahawa tujuh pemuda tersebut wujud selepas kedatangan Nabi Isa AS, dan mereka beriman kepada Allah SWT melalui ajaran Nabi Isa dan dipanggil sebagai Nasara/Nasrani (Kristian).
“Ibn ‘Ashur dalam tafsirnya juga menyebut kecenderungannya bahawa peristiwa itu berlaku sebelum ajaran al-Mash ‘Isa kerana mengambil kira kepada hujah Sababun Nuzul ayat ini.
“Ibn ‘Ashur juga menyebut bahawa gua-gua memang menjadi pilihan sebagai tempat perlindungan golongan Kristian yang ditindas suatu masa dahulu dan mereka turut membawa anjing untuk tujuan keselamatan,” katanya.
Tegas jurucakap tersebut, pendakwah juga tidak terlepas daripada tanggungjawab untuk memeriksa dengan teliti atau mengambil pendekatan tabayyun, sebelum menjawab dan mengulas sesuatu perkara.
“YADIM juga menyeru agar para pendakwah dan asatizah tidak mudah untuk menggunakan dan mengeluarkan sesuatu gelaran sesat, munafik, kafir dan sebagainya apabila merujuk kepada seseorang figura yang tidak sependapat atau sehaluan dalam politik atau perkara-perkara khilaf dalam agama.
“Mengambil pandangan dan pendapat yang mu’tabar (berautoriti) adalah lebih baik daripada berpandukan kepada pandangan individu,” katanya.
Kisah Ashabul Kahfi yang dipetik Perdana Menteri pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) lalu menjadi isu hangat apabila ia diulas oleh pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus (UAI).
Beliau menerusi satu ceramah melabelkan Anwar sebagai sesat, jahil dan keliru walaupun tidak mendengar konteks sebenar ucapan disampaikan Perdana Menteri pada perhimpunan berkenaan.
Baca lagi: