AMANAH desak kerajaan sekat pemikiran takfiri yang berbahaya
Parti Amanah Negara (AMANAH) mendesak kerajaan membanteras pemikiran takfiri dengan memperkasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) selain Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi.
Perwakilan AMANAH Kuala Pilah, Khairul Azidi berkata, takfiri iaitu mengkafirkan sesama Muslim disifatkan kembali meruncing dengan perkara itu dimainkan pemimpin parti politik yang dikaitkan dengan Islam semata-mata demi sokongan.
“Mutakhir ini, fahaman takfiri atau gejala takfir mula hidup kembali terutamanya di musim kempen pilihan raya umum atau negeri yang berlangsung beberapa bulan lalu.
“Gejala takfiri, iaitu mengkafirkan sesama umat Islam, merupakan penyakit dalam masyarakat, bahkan ancaman bagi umat Islam.
“Pemahaman ataupun pemikiran mahupun gejala ini dapat menyebabkan sifat ekstrem dan radikal serta mudah menimbulkan fitnah kepada sesiapa sahaja yang berbeza dengannya,” katanya pada Konvensyen AMANAH Nasional 2023, hari ini.
Terdahulu, usul itu dibawa Perwakilan AMANAH Kubang Pasu, Asri Baharom yang kemudian diluluskan perwakilan.
Dalam pada itu, Khairul mencadangkan AMANAH mengambil empat langkah bagi menghapuskan budaya tersebut antaranya mendesak kerajaan mengambil tindakan tegas kepada pihak terlibat, kedua menggubal undang-undang menyekat penyebaran fahaman takfiri dan pemikiran pelampau.
“Ketiga, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan tinggi perlu merangka kurikulum memberi kefahaman dan pengetahuan betul yang tidak mencetuskan permusuhan terhadap Islam.
“Keempat, melibatkan Jakim, Yadim, dan agensi berkaitan untuk menggubal dan memperkasakan dasar serta pendekatan falsafah rahmatan lil alamin dan wasatiyyah,” katanya.
Manakala, tiga lagi usul diluluskan adalah persempadanan semula kawasan pilihan raya, solidariti bersama rakyat Palestin, dan menggesa kerajaan segera meluluskan Rang Undang-undang (RUU) profesion pekerja sosial.
Baca juga: