ekonomi

Geely rancang buka universiti di Proton City

Syarikat automotif China, Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd atau Geely berminat untuk membuka sebuah universiti antarabangsa di Proton City, Tanjung Malim.

Menurut Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, rancangan itu telah dinyatakan Geely melalui pertemuan dengan Pengarah Eksekutif Kumpulan Geely, Dr. Wei Mei, di pejabatnya pada Selasa minggu lalu.

“Mereka belum datang dengan perancangan yang konkrit (masih di peringkat cadangan awal). Akan tetapi kerajaan negeri telah menerimanya dan sudah mencadangkan beberapa tapak cadangan pembinaanya.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini pun ada menyebut, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) juga akan menerima kebaikan daripada pembinaan sebuah universiti swasta antarabangsa di daerah itu,” katanya.

BACA LAGI:AHTV Tanjong Malim manfaatkan kepakaran dan bakat tempatan

Saarani berkata begitu kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Dewan Belia Sesi 2023/2024 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh pada Sabtu.

Sementara itu beliau menyatakan keyakinan, rancangan itu apabila direalisasi akan melahirkan lebih ramai bakat muda sama ada dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) mahupun teknologi automotif selain pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi baharu.

Nilai pelaburan berjumlah RM32 billion melalui projek pembangunan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) yang diumumkan Anwar sebelum ini jelasnya bukan sahaja akan memberi limpahan ekonomi terhadap daerah Muallim, malah ia akan turut hingga ke daerah Batang Padang.

Related Articles

Back to top button