Kisah Ashabul Kahfi sepatutnya tidak diperbesar hingga jadi polemik membingitkan – Mufti Pulau Pinang
Isu al-Kahfi tidak sepatutnya menjadi polemik yang membingitkan sekiranya ia ditangani dengan tenang dan dinilai dengan hati yang jernih dan niat yang ikhlas untuk menemui kebenaran.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, berkata bagi individu yang tidak atau kurang mendalami ilmu perbandingan agama dan sejarah Nabi, sudah tentu sukar bagi mereka memahami isu ini secara jelas.
Beliau berkata, sebenarnya ia berkait dengan akidah Tauhid yang diyakini tujuh pemuda ketika berlindung di dalam sebuah gua demi bagi memelihara dan mempertahankan keyakinan itu.
“Punca kekeliruan berkaitan isu ini adalah kerana istilah ‘Kristian’ yang diguna oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan beliau apabila merujuk kepada Ashabul Kahfi.
“Berikutan istilah Kristian itu, maka seluruh Malaysia menjadi riuh rendah dengan pelbagai pihak memberi pandangan dan komen yang bercampur baur antara input akademik dan tujuan politik ,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Wan Salim berkata, perlu dijelaskan bahawa kawasan Timur Tengah pada masa itu berada di bawah pemerintahan Rom Timur yang juga dikenali sebagai Empayar Byzantium, sedangkan agama empayar itu adalah Paganime.
Katanya, para ulamak tafsir dan ahli sejarah berbeza pandangan tentang zaman kejadian ini dan ramai yang berpendapat ia berlaku sebelum kelahiran Nabi Isa AS dan ada yang berpendapat ia berlaku selepas kelahiran Nabi Muhammad SAW.
“Susulan perbezaan pandangan ini maka berbezalah pula tentang agama mereka dan jika peristiwa itu berlaku sebelum kelahiran Nabi Isa AS, maka sudah tentu mereka bukan beragama Kristian.
“Begitu sebaliknya jika peristiwa itu berlaku setelah Nabi Isa AS lahir, maka logiknya mereka beragama Kristian iaitu agama yang dijenamakan sempena nama Jesus Christ menurut sebutan orang Barat,” katanya lagi.
Menurut Wan Salim, perlu diketahui bahawa daripada perspektif Islam, sekalian Rasul Allah adalah menyeru kepada agama sama iaitu Islam dalam pengertiannya yang umum – menyerah kepada kehendak Allah SWT berpaksikan kepada akidah Tauhid (kepercayaan kepada Tuhan Yang Maha Esa).
Namun begitu, beliau berkata, di dalam perjalanan sejarah yang lama, maka berlakulah penyelewengan terhadap ajaran Tauhid yang dibawa oleh Nabi Allah itu.
Jelasnya, merujuk secara khusus kepada agama Kristian, penyelewengan daripada akidah tauhid bermula dengan Persidangan Nicean yang berlangsung di bandar Nicea di Asia Kecil (Turkiye kini) pada tahun 325 Masihi.
“Di situ Emperer Konstantin telah mempengaruhi keputusan persidangan tersebut dengan tujuan untuk kompromi antara agama Kristian dengan fahaman Pagan yang menjadi agama rasmi pemerintahan Rom Timur ketika itu.
“Maka mulai saat itu berubahlah akidah tauhid yang dibawa oleh Nabi Isa lalu menjadi doktrin Triniti seperti yang dipegangi oleh para penganut agama Kristian sehingga ke zaman kini,” jelasnya.
Baca lagi: