Semasa

Komplot tetapkan harga makanan ayam merupakan pengkhianatan tertinggi – Fuziah

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh menyelar tindakan lima syarikat pengeluar makanan ayam yang berpakat menetap dan menyeragamkan secara bersama harga produk mereka untuk pasaran tempatan.

Bercakap pada sidang media selepas melakukan tinjauan harga barang keperluan melalui pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas di sebuah pasar raya di Kuantan semalam, Fuziah menegaskan tindakan lima syarikat itu adalah pengkhianatan kepada negara di peringkat paling tinggi.

Tindakan tersebut tambahnya hanya akan menyukarkan usaha kerajaan untuk mengawal harga ayam di pasaran.

“Apabila berlaku kartel atau pakatan untuk mengawal harga makanan ayam, maka harga ayam itu susah untuk dikawal.

“Bagi saya, ini pengkhianatan kepada negara peringkat paling tinggi dari segi undang-undang,” katanya.

BACA LAGI: KPDN ketatkan penguatkuasaan, benteras golongan kaut ‘untung atas angin’

Media pada Jumaat melaporkan, lima syarikat terbabit tersebut dikenakan penalti bernilai RM415.5 juta selepas didapati bersalah menetap dan menyeragamkan secara bersama harga produk mereka, bagi ayam untuk pasaran tempatan.

Syarikat itu ialah Dindings Poultry Development Centre Sdn Bhd (Dindings), FFM Berhad (FFM), Gold Coin Feedmills (M) Sdn Bhd (Gold Coin), Leong Hup Feedmill (M) Sdn Bhd (Leong Hup) dan PK Agro-Industrial Products (M) Sdn Bhd (PK Agro).

MyCC dalam keputusannya berkata mereka didapati melanggar Seksyen 4(1) Akta Persaingan 2010 kerana membuat perjanjian mendatar atau menegak dilarang antara perusahaan dengan matlamat atau kesan menghalang, menyekat atau mengganggu persaingan secara signifikan dalam apa-apa pasaran barang atau perkhidmatan.

Related Articles

Back to top button