Semasa

PM Anwar selar sentimen pembangkang takut-takutkan orang Melayu

Tindakan parti pembangkang yang bermain politik dengan sentimen yang menakut-nakutkan orang Melayu dikritik perdana menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu program di Putrajaya pada Sabtu berkata, tindakan itu hanya menyebabkan orang Melayu mempunyai perasaan rendah diri.

Antara tuduhan melampau yang dibangkitkan oleh pihak tersebut ialah negara kini dikuasai oleh orang Cina dan DAP.

“Baru-baru ini dibangkitkan tentang pinda perlembagaan supaya seorang perdana menteri itu haruslah seorang Melayu.

“Pada saya, kalau anak-anak kita esok, 20 tahun akan datang mahu pinda, mereka boleh pinda… cuma sekarang tidak ada calon yang dikemukakan bukan Melayu sebagai perdana menteri. Jadi apa isu dia?

“Keduanya, pilihan raya pihak berkuasa tempatan. Memang kita bincangkan, ini sampai bincang pun tak boleh, pada saya boleh bincang.

“Tetapi setakat ini jemaah menteri belum buat sebarang keputusan, belum sampai lagi ke situ, belum dibincangkan,” katanya pada Sesi Dialog Perdana Menteri bersama Ketua Pengarang serta Pengarang-Pengarang Kanan Media Elektronik, Media Cetak dan Dalam Talian.

BACA LAGI: Pendakwah harus bijak jawab persoalan dengan berhati-hati dan bertanggungjawab

Mengulas lanjut Anwar menegaskan, orang Melayu tidak sepatutnya mempunyai pemikiran rendah diri dan tertutup kerana semua peringkat kepimpinan di negara ini dikuasai oleh kaum tersebut.

“Kita majoriti, Melayu masih ada kekuatan dengan Raja Melayu, perdana menteri dan menteri besar, semuanya… Jadi mengapa ditanam seolah Melayu dalam perasaan takut.

“Yang perlu ditanam dalam pemikiran orang Melayu ialah cungkil bakal dan beri keyakinan supaya orang Melayu perlu lebih rajin, kuat dan bersaing lebih baik. Itu cabaran kita,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button