Semasa

PM Anwar umum Mitra diletak semula bawah Kementerian Perpaduan Negara

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) akan diletakkan semula di bawah Kementerian Perpaduan Negara.

Bercakap dalam satu sesi dialogi di Putrajaya pada Sabtu, Anwar bagaimanapun memberi jaminan bahawa beliau sendiri akan memantau unit khas yang bertanggungjawab dalam menangani isu pembangunan sosioekonomi masyarakat India di negara ini.

“Seperti mana kita tahu, Mitra pun ada masalah masa itu. Jadi, setahun yang lalu, kita (Kerajaan Perpaduan) dah betulkan di mana program lebih telus, tidak menuju kepada badan politik tetapi terus kepada rakyat, pelajar dan sebagainya.

“Oleh kerana itu, keadaan telah lebih baik, saya boleh pindahkan ke Kementerian Perpaduan tetapi saya tetap pantau,” katanya.

BACA LAGI: Kesungguhan PM Anwar berjaya pulihkan imej MITRA – Penganalisis

Anwar sebelumnya hadir ke Sesi Dialog Perdana Menteri bersama Ketua Pengarang serta Pengarang-Pengarang Kanan Media Elektronik, Media Cetak dan Dalam Talian.

Mitra pada asalnya dikenali sebagai unit khas Pembangunan Sosioekonomi Komuniti India (SEDIC) yang ditubuhkan pada 2014 sebelum dijenamakan semula sebagai Mitra pada 2018 dan diterajui oleh Kementerian Perpaduan Negara namun pada September 2022 ia telah dipindahkan di bawah seliaan JPM.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini mengketegorikan semula Mitra yang sebelum ini dikaitkan dengan isu penyalahgunaan pengurusan dana sebagai risiko ‘Rendah’.

Pemakluman itu dibuat secara rasmi kepada Mitra melalui satu surat ditandatangani Pengarah Bahagian Pengurusan Integriti Agensi (BPIA) Datuk Nor Azmi Karim pada 22 Nov lepas.

Sementara itu Perdana Menteri menegaskan, masyarakat India tidak perlu bimbang mengenai pentadbiran Mitra yang diletakkan di kementerian berlainan kerana peraturan telah ditetapkan, peruntukan diluluskan dan unit itu masih tertakluk kepada syarat-syarat yang ketat bagi mengelakkan berlakunya lagi salah guna kuasa atau penyelewengan.

Related Articles

Back to top button