Nasional

Isu pekerja asing merupakan isu negara dan bukan isu pendatang asing – Rafizi

Isu pendatang asing yang menjadi masalah besar kini datangnya daripada pergantungan negara terhadap pekerja asing, kata Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli.

Menurutnya, isu ini menjadi lebih kritikal dengan wujudnya amalan Ali Baba dalam sektor ekonomi di negara ini.

Tambahnya, apabila disoal mengenai isu sama kepada para majikan, alasan yang diberikan ialah orang tempatan tidak mahu lagi melakukan kerja-kerja dalam industri tertentu.

“Sebahagiannya soal gaji, tetapi dengan gaji minimum, gajinya lebih berdaya saing berbanding dulu. Apa yang berlaku sekarang adalah kesan dari berpuluh tahun yang lepas.

“Apabila pekerja asing sudah ramai, orang kita pula pergi sewakan dan bagi lesen (dengan cara Ali Baba) untuk mereka buat perniagaan,” ciapnya di aplikasi X, hari ini.

Beliau berkata demikian untuk menjawab soalan seorang pengguna berkenaan tindakan kerajaan untuk mengurangkan kemasukan warga asing di negara ini.

Menurut Rafizi, pada masa sekarang, kerajaan sedang menjalankan beberapa langkah untuk menyelesaikan isu tersebut.

“Salah satunya ialah reformasi pasaran kerja, gaji progresif, latihan dalam industri (AiI), memuktamadkan ‘phasing down’ pekerja asing melalui levi pelbagai peringkat (MTL).

“Selain itu, kementerian yang merangka Rancangan Malaysia akan memuktamadkan sasaran pengurangan pekerja asing secara berperingkat menjelang 2030,” katanya.

Tambah Rafizi, akta Anti Ali Baba membolehkan tindakan diambil kepada rakyat Malaysia yang memberi lesen kepada pekerja asing tanpa menepati syarat-syarat.

“Semua ini perlukan keseimbangan supaya tidak ada kesan drastik kepada industri yang banyak bergantung kepada pekerja asing.

“Tetapi seperti pesan saya kepada majikan dan industri, ‘it is coming because we cannot afford to continue like this’,” katanya.

Baca lagi:

Related Articles

Back to top button