Kerajaan Perpaduan capai matlamat bersihkan kembali imej Mitra
Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) dianggap telah mencapai sasaran dan matlamat sepenuhnya yang ditetapkan sepanjang tahun ini.
Datuk R. Ramanan yang juga Pengerusi jawatankuasa itu berkata, pencapaian tersebut juga menandakan kali pertama dana yang disalur untuk agensi itu diguna sepenuhnya sejak penubuhannya.
Tambahnya dalam kenyataan pada Ahad, Mitra telah membentang rangka kerja baik dan kukuh pada tahun ini untuk mengendalikan agensi itu bergerak ke hadapan bagi sesiapa yang mengambil alihnya kelak.
“Peningkatan komuniti India B40 (golongan berpendapatan rendah) di negara ini adalah yang terpenting dan Mitra mesti meneruskan usaha memperkasa mereka melalui pendidikan sewajarnya dan peluang pekerjaan bergaji tinggi.
“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) menyebut semua dana yang bergerak ke hadapan harus disalur terus kepada penerima akhir dan bukannya melalui pembiayaan NGO pihak ketiga untuk mengelakkan salah guna dana.
“Kami berharap sesiapa yang mengetuai agensi itu (selepas ini) memahami tanggungjawab berat mereka terhadap masyarakat India dan pemerkasaan mereka,” kata Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu.
BACA LAGI: Kesungguhan PM Anwar berjaya pulihkan imej MITRA – Penganalisis
Mitra pada mulanya dikenali sebagai Unit Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (Sedic) dan dilancar pada 2013
Pada awal 2021, isu dana Mitra menjadi tumpuan berikutan penahanan beberapa pengarah syarikat yang disyaki terlibat dalam penyelewengan geran yang diperuntukkan kepada unit itu.
Selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan, Mitra diletak semula di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) dengan dana RM100 juta telah diperuntukkan bagi membantu usaha meningkatkan pendapatan golongan berpendapatan rendah dalam kalangan masyarakat India dengan Ramanan diamanahkan memulihkan kembali agensi itu.
Seterusnya pada November lalu, Mitra menerima pemakluman rasmi penarafan berisiko ‘rendah’ oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tahun 2023 dalam pengurusannya yang sebelum ini terpalit dengan isu penyelewengan.
Sementara itu Ramanan dalam kenyataan sama mejelaskan, selepas dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa itu, misi dan fokus utama pasukan adalah untuk membersih imej Mitra dan menjayakan program berimpak tinggi untuk kemajuan masyarakat.
“Itulah sebabnya saya berazam mengukuhkan sistem penyampaian Mitra, terutama dalam aspek integriti dan ketelusan,” katanya.