Semasa

KPWKM fokus tingkat akses, khidmat berkualiti untuk semua golongan – Nancy Shukri

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan memberi tumpuan memastikan akses dan perkhidmatan berkualiti tinggi untuk semua pada masa hadapan.

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata KPWKM memfokuskan kepada pembangunan dasar dan program bagi menangani pelbagai keperluan penduduk daripada penjagaan kanak-kanak hingga warga emas.

Ia jelasnya termasuk inisiatif menyediakan penjagaan, mewujudkan peluang pekerjaan yang mampan, memupuk budaya empati dan menyokong serta membina masyarakat berdaya tahan dan prihatin yang boleh berkembang maju dalam menghadapi cabaran masa depan.

“Melihat ke hadapan, kami komited untuk meningkatkan ekonomi penjagaan, penting untuk mengukuhkan jaringan keselamatan sosial negara kita.

“Matlamat dengan harapan tinggi ini memerlukan usaha dan kerjasama kolektif, bukan sahaja dalam kalangan agensi kerajaan tetapi juga daripada (pertubuhan bukan kerajaan) NGO, persatuan komuniti, entiti sektor swasta dan pembabitan aktif masyarakat,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

BACA LAGI: Kerajaan peruntukkan RM35.8 juta sebagai persedian hadapi banjir

Sementara itu Nancy turut menjelaskan, kementeriannya akan membangunkan modul kursus yang komprehensif untuk penjagaan dan sokongan orang kurang upaya (OKU) bertujuan memupuk pembangunan potensi holistik mereka.

Sehubungan itu, kerajaan jelasnya telah meningkatkan elaun pelatih OKU dalam Program Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) daripada RM150 kepada RM300 sebulan sekali gus mengesahkan komitmen terhadap pemerkasaan dan kebajikan mereka.

Untuk menjaga hak dan kesejahteraan kanak-kanak, Nancy berkata KPWKM menubuhkan Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak, beroperasi sejak 1 Sept 2023 dan beliau berharap jabatan itu akan menjadi agensi bebas pada masa depan.

“Tahun ini menandakan pencapaian penting KPWKM selepas berjaya mengadakan 13 siri jerayawara seluruh negeri untuk mempromosikan Akta Antigangguan Seksual.

“Selain itu, program Wanita Bangkit@KPWKM oleh Yayasan Kebajikan Negara (YKN) memberi impak positif kepada 9,430 wanita termasuk usahawan kecil dan mereka yang terjejas teruk akibat pandemik,” katanya.

Related Articles

Back to top button