Tak wajar politikkan isu perkataan ‘keling’, PM hanya petik Hikayat Hang Tuah
Isu penggunaan perkataan ‘keling’ oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini tidak wajar dijadikan isu politik.
Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN Pusat, Dr Sathia Prakash Nadarajan berkata, ketika ini ada pihak tertentu yang begitu agresif menggunakan isu berkenaan dan cuba memotretkan Perdana Menteri sebagai seorang yang rasis.
Tindakan menggunakan isu tersebut untuk membangkitkan sentimen kebencian terhadap perdana menteri tegasnya adalah tindakan tidak wajar dan wajar segera dihentikan.
“Anwar sebagai pemimpin berpengalaman yang disegani rakyat tidak pernah menggunakan perkataan sensitif terhadap mana-mana kaum atau masyarakat sepanjang menjadi pemangkang selama 20 tahun ini.
BACA LAGI: Tindakan pantas Dr Sathia bantu warga emas dapat pujian ramai
“Lagi pun, dalam konteks ini, dia (Anwar) sebenarnya telah merujuk perkataan itu dari sejarah Hikayat Hang Tuah dan bukanya sengaja berniat untuk memperkecilkan atau pun memalukan masyarakat India, ini perlu difahami oleh semua pihak,” katanya dipetik laporan media.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Sabtu memohon maaf atas sebarang salah faham yang timbul daripada penggunaan istilah “keling” ketika program Temu Anwar Dialog Mahasiswa di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim, Perak baru-baru ini.
Beliau menjelaskan penggunaan frasa itu dipetik daripada buku bertajuk Hikayat Hang Tuah, dan bukan bertujuan untuk menghina mana-mana pihak sebaliknya memetik konteks dalam buku tersebut.
“Walaupun kita semua setuju bahawa perkataan itu adalah sangat sensitif tetapi memandangkan tiada siapa yang sempurna. Anwar sudah pun meminta maaf dengan ikhlas dan secara terbuka selepas menyedari sekiranya ia menyinggung perasaan masyarakat, maka kita perlu menerima permohonan maaf itu secara terbuka atas dasar kemanusiaan.
“Adalah tidak wajar kepada individu atau pihak tertentu di luar sana mengambil isu ini dan terus memainkan sentimen serta kebencian dalam kalangan rakyat di negara ini,” tambah pengasas rangkaian klinik Kumpulan SP Care itu lagi.