Semasa

Banjir: Kelantan terjejas teruk, Rantau Panjang dilapor lumpuh

Hampir 20,000 orang membabitkan lebuih 5,500 keluarga terkesan dengan kejadian banjir di empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor setakat malam tadi.

Menerusi maklumat dipaparkan pada Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), angka tertinggi ialah di Kelantan dengan 12,111 mangsa diikuti Terengganu iaitu 6,451 mangsa.

“Seterusnya di Pahang pula melibatkan 704 mangsa, manakala di Selangor dengan empat mangsa banjir dilaporkan.

“Dalam masa sama, sebanyak 205 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka sehingga kini,” menurut data tersebut.

BACA LAGI: Kerajaan peruntukkan RM35.8 juta sebagai persedian hadapi banjir

Di Kelantan, penduduk di 63 lokasi dalam tujuh daerah di Kelantan yang terjejas banjir terpaksa bergelap malam ini selepas pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) menutup bekalan elektrik di kawasan tersebut.

TNB Careline dalam satu kenyataan berkata, daerah yang terlibat ialah Bachok, Tumpat, Kota Bharu, Pasir Mas, Pasir Puteh, Kuala Krai dan Gua Musang.

Menurut kenyataan, penutupan bekalan elektrik dilakukan di pencawang elektrik yang terlibat bagi memastikan keselamatan pengguna setempat.

TNB turut menggesa orang ramai agar tidak menghampiri talian TNB yang jatuh atau mana-mana pemasang elektrik yang rosak.

Media turut melaporkan daerah Rantau Panjang berada dalam keadaan lumpuh setelah paras air Sungai Golok mencatatkan bacaan 11.03 meter (m) susulan hujan berterusan sejak tiga hari lalu.

Bacaan tersebut sekali gus melepasi bacaan paras sungai itu semasa bah besar yang melanda seluruh Kelantan pada 2014 iaitu 10.52 m.

Related Articles

Back to top button