Tiga mangsa korban banjir di Kelantan direkodkan sejak 21 November
Tiga kes lemas akibat banjir direkodkan sejak tempoh Monsun Timur Laut (MTL) bermula 21 November hingga 25 Disember.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata kes terbabit membabitkan seorang kanak-kanak lelaki di Kubang Kerian, Kota Bharu dan dua kanak-kanak perempuan di Pasir Mas.
“Empat lagi kes kematian adalah mangsa mati lemas dan mati mengejut tetapi bukan akibat banjir.
“Orang ramai dinasihatkan agar cakna mengenai keselamatan anak-anak di bawah jagaan masing-masing yang bermain air tanpa pengawasan serta sentiasa berwaspada dan sentiasa patuh pada arahan serta panduan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.
“Orang ramai terutamanya golongan remaja bermotosikal diingatkan supaya tidak pergi ke tempat banjir dan seolah-olah berpesta kerana perbuatan itu akan mengundang risiko kemalangan.
“Ia juga mengganggu kelancaran kenderaan petugas sekali gus akan merencatkan kerja menyelamat dan perpindahan mangsa banjir,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Beliau juga berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi MTL yang bermula pada pertengahan November dan dijangka berakhir pada Mac tahun depan.
Empat sungai di Kelantan masih melepasi paras bahaya selain lima sungai melepasi paras amaran susulan hujan masih berterusan.
Berdasarkan laman web publicinfobanjir.water.gov.my, empat sungai yang melepasi paras bahaya adalah Sungai Golok di Rantau Panjang 11.03 meter (m), Sungai Kelantan di Kuala Krai (26.93 m), Sungai Golok di Kampung Jenob (25.17 m) dan Sungai Kelantan di Kuala Besar (2.98 m).
Baca lagi: