Politik

UMNO harap hubungan kerjasama dengan Amanah makin kukuh

Hubungan erat antara parti dalam Kerajaan Perpaduan dilihat semakin kukuh dan menunjukkan keserasian.

Ia dapat dilihat apabila Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menyatakan ucapan tahniah kepada barisan kepimpinan Parti Amanah Negara (Amanah) yang dipilih menerajui parti berkenaan bagi sesi 2023-2026.

Melalui satu hantaran di laman Facebooknya, Ahmad Maslan turut menyatakan harapan agar barisan kepimpinan berkenaan dapat mengekalkan hubungan yang utuh di dalam Kerajaan Perpaduan, demi manfaat rakyat dan negara.

“Tahniah Datuk Seri Mohamad Sabu dipilih sebagai Presiden Amanah, Senator Dr Mujahid Yusof (Timbalan) dan Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan (memperoleh) undi tertinggi daripada 27 yang dipilih.

“Semoga hubungan Amanah dengan UMNO terus kukuh dalam #KerajaanPerpaduan,” katanya ringkas.

BACA LAGI: Hubungan dan persefahaman parti dalam kerajaan bakal diperkukuh

Mohamad berjaya mempertahankan jawatan sebagai Presiden Amanah bagi penggal 2023-2026 pada pemilihan kepimpinan parti itu pada Ahad.

Pemilihan kali ini juga merupakan penggal terakhir bagi Ahli Parlimen Kota Raja itu menerajui parti serpihan Pas tersebut berikutan perlembagaan parti tersebut hanya membenarkan sesorang dilantik sebagai presiden selama tiga penggal berturut-turut.

Mohamad akan bergandingan dengan Mujahid yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) selaku Timbalan Presiden parti Amanah, manakala jawatan Naib Presiden pula masing-masing diisi oleh Dr Dzulkefly, Dr Siti Mariah Mahmud dan Adly Zahari.

Terdahulu, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut mengucapkan tahniah kepada barisan kepimpinan Parti Amanah Negara (Amanah) yang dipilih.

Beliau berkata, jawatankuasa pimpinan nasional parti itu diharapkan dapat terus memperkasa dan memangkin agenda Kerajaan Perpaduan serta Malaysia Madani.

“Kerjasama yang dirai antara parti dalam kerajaan diharap akan lebih kukuh, erat dan serasi bagi memastikan sebuah politik yang stabil dalam memacu kemajuan negara.

“Selamat berkhidmat,” katanya ringkas menerusi hantaran di Facebook.

Related Articles

Back to top button