Nasional

99 peratus pengguna domestik Sabah, Labuan dan KHTP tidak terjejas pelarasan tarif elektrik

99 peratus pengguna domestik di Sabah, Labuan dan Kulim Hi-Tech Park, Kedah (KHTP) tidak terjejas dengan pelarasan tarif elektrik dan akan menerima subsidi daripada kerajaan bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2024, menurut Suruhanjaya Tenaga (ST).

ST dalam kenyataan memaklumkan bahawa kerajaan pada 13 Disember lalu telah bersetuju supaya pelarasan tarif elektrik di bawah pelaksanaan mekanisme Pelepasan Kos Tidak Berimbang (ICPT) dilaksanakan secara penyasaran semula subsidi bagi pengguna di Sabah, Labuan dan NUR Power Sdn Bhd di KHTP untuk tempoh itu.

“Berdasarkan kepada penyasaran semula subsidi ini, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM161.70 juta subsidi bagi meminimumkan impak surcaj ICPT sepanjang tempoh pelaksanaan ini (bagi Sabah dan Labuan).

“Manakala di KHTP, kerajaan turut memutuskan supaya kos tampungan surcaj sebanyak RM0.73 juta dibiayai menggunakan dana Kumpulan Wang Industri Elektrik,” menurut kenyataan itu.

Dengan pelaksanaan ICPT di Sabah dan Labuan itu, pengguna domestik (tarif DM) dengan unit penggunaan elektrik sebanyak 1,500 kilowatt-jam (kWj) dan ke bawah tidak dikenakan sebarang surcaj.

Bagi pengguna domestik (tarif DM) dengan penggunaan elektrik melebihi 1,500 kWj akan dikenakan surcaj pada kadar 7.21 sen/kWj, manakala pengguna bukan domestik turut dikenakan surcaj pada kadar 7.21 sen/kWj.

Pengecualian surcaj ICPT dikekalkan kepada pengguna bukan domestik kategori tarif voltan rendah (tarif CM1 dan ID1) yang terdiri daripada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Pengecualian surcaj ICPT turut diberikan kepada pengguna bukan domestik yang terdiri daripada operator air dan pembetungan dalam kategori tarif voltan rendah (tarif CM1 dan ID1),” menurutnya.

Sementara itu, di KHTP bagi pengguna domestik (tarif N1) dengan penggunaan elektrik melebihi 1,500 kWj akan dikenakan surcaj pada kadar 6.60 sen/kWj, manakala pengguna bukan domestik pula akan dikenakan surcaj pada kadar 6.50 sen/Kwj.

ICPT merujuk kepada satu mekanisme di bawah Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) yang membolehkan kos bahan api diselaraskan setiap enam bulan berdasarkan turun naik harga global bahan api.

Baca lagi:

Related Articles

Back to top button