Semasa

AMK buat laporan, dakwa pemimpin PAS buat kenyataan yang mampu cetus ketegangan kaum

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Wilayah Persekutuan pada Selasa memfailkan laporan polis terhadap Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan Azhar Yahya.

Ketua AMK Wilayah Persekutuan Mohammad Azfar Aza Azhar berkata, laporan dibuat terhadap pemimpin PAS itu susulan kenyataan dikeluarkannya mengenai pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) berunsur 3R (kaum, agama dan institusi diraja) dan boleh mengakibatkan ketegangan kaum selain menggunakan fakta yang salah.

Justeru beliau mahu pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut terhadap Azhar susulan kenyataan yang boleh mendatangkan kegusaran awam itu.

“Kita faham mungkin ada yang setuju atau tidak mengenai pilihan raya PBT, tapi apabila kita mainkan isu perkauman terutama sekali apabila menggunakan fakta yang salah.

“Beliau (Azhar) menyebut di Lembah Pantai dan Bandar Tun Razak merupakan kawasan majoriti bukan Melayu. Itu kenyataan yang salah kerana di Lembah Pantai mempunyai 59% pengundi Melayu, Cina (17%) dan India (11%)…di Bandar Tun Razak, 62% terdiri daripada kaum Melayu dan selebihnya adalah kaum bukan Melayu,” katanya dipetik laporan media.

BACA LAGI: AMK mahu tubuh unit khas pantau naratif 3R di media sosial

Mohammad Azfar mendakwa kenyataan Azhar disiar di laman X @paspusat berbunyi “Apa yang dibimbangkan jika pilihanraya PBT diadakan akan berlaku monopoli kaum khususnya kaum Cina dalam menguasai kerusi PBT di Kuala Lumpur. Buktinya, Parlimen Kepong, Seputeh, Cheras, Bukit Bintang, Segambut, dikuasai oleh DAP manakala kerusi Wangsa Maju, Setiawangsa, Lembah Pantai dan Bandar Tun Razak adalah kawasan campuran yang majoritinya dikuasai oleh kaum selain Melayu.”

Sementara itu, Naib Pengerusi Keadilan Wilayah Persekutuan dan Ketua Cabang Keadilan Wangsa Maju Lai Chen Heng turut membuat laporan sama.

Tegasnya dakwaan-dakwaan dibuat Azhar adalah bersifat serius bertujuan untuk mengancam ketenteraman awam dan diwar-warkan untuk menimbulkan ketegangan di dalam negara ini.

“Saya berharap pihak polis boleh ambil tindakan dan menyiasat apa yang dimaksudkan olehnya (Azhar). Tindakan wajar patut diambil untuk membendung perkara ini daripada berleluasa. Isu perkauman tak patut berlaku di zaman ini,” katanya.

Related Articles

Back to top button