Global

IAIS Malaysia utus surat kepada pemimpin-pemimpin utama agama dunia, usaha capai keamanan di Gaza

Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa (IAIS) Malaysia mengutus surat kepada 19 pemimpin utama agama-agama di seluruh dunia dalam usaha menyokong gencatan senjata serta-merta di Gaza.

Pengerusi IAIS Malaysia, Dr Maszlee Malik berkata, ia merupakan usaha pihaknya dalam menghadapi krisis kemanusiaan yang meruncing ini bagi merayu mereka supaya bersama-sama menggunakan kebijaksanaan dan autoriti moral untuk menyokong gencatan senjata serta-merta di Gaza.

“Ia bagi memohon tindakan segera untuk menggunakan pengaruh besar mereka bagi mencapai keamanan dan bantuan kemanusiaan di Gaza.

“Seruan ke arah gencatan senjata ini adalah berlandaskan prinsip-prinsip penting seperti rahmah, dialog, dan keadilan, yang juga merupakan prinsip-prinsip teras yang mendasari agenda Madani nasional yang diterajui oleh Perdana Menteri Malaysia sendiri.

“Kami di IAIS Malaysia sangat komited untuk menggerakkan agenda ini, yang mana prinsip Rahmah merupakan salah satu teras pentingnya,” katanya pada satu kenyataan media, hari ini.

Menurut Maszlee, surat berkenaan diutuskan kepada Mufti Besar Arab Saudi Syeikh Abdulaziz bin Abdullah Al al-Syeikh, Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia Salim Segaf Al-Jufri, imam besar Al-Azhar Sheikh Ahmed al-Tayeb, Ketua Gereja Katholik Pope Francis, pemimpin spiritual Tibet Dalai Lama, pemimpin tertinggi Iran Ayatollah Ali Khamenei.

Selain itu, surat itu juga dihantar kepada pemimpin Gereja Ortodoks Timur Ecumenical Patriarch Bartholomew I, ketua biskop Canterbury gereja England Justin Welby dan Ketua Rabai Ortodoks Ephraim Mirvis daripada United Hebrew Congregations of the Commonwealth.

Beliau berkata, sifat rahmah dan empati yang menjadi teras agenda Madani turut mendasari seruan pihaknya ke arah gencatan senjata di Gaza.

“Kami sesungguhnya percaya bahawa nilai-nilai seperti ini amat penting dalam membina jambatan, memupuk kesefahaman dan seterusnya membawa kepada sebuah dunia yang lebih aman dan harmoni.

“Krisis kemanusiaan ini menuntut usaha bersama untuk menghentikan pembunuhan kanak-kanak dan orang awam, menghentikan pengeboman hospital dan sekolah dan menghentikan genosid yang sedang berlangsung di Gaza

“Di samping itu, kami juga merupakan sebuah institusi yang didedikasikan untuk mengembangkan diplomasi agama (religious diplomacy) sebagai salah satu wasilah untuk mempromosikan keamanan global dan kelestarian,” jelasnya.

Tambahnya, IAIS Malaysia tidak berbelah bahagi dalam menyatakannya komitmennya terhadap keamanan, toleransi, dan dialog antara agama.

“Justeru kami amat menggalakkan penglibatan dan kerjasama pemimpin-pemimpin agama di seluruh dunia bagi membentuk sebuah dunia yang lebih berbelas kasihan, harmonidan aman.

“Kami juga memahami betapa pentingnya kerjasama rentas agama serta peranan besar yang dimainkan pemimpin-pemimpin agama dalam memupuk perpaduan dan toleransi dalam sesebuah komuniti majmuk,” katanya.

Baca juga:

Related Articles

Back to top button