Pendakwah tegur Menteri Besar Kedah ralit berkaraoke di Tik Tok
Pendakwah bebas, Syed Mohd Bakri Syed Ishak atau dikenali sebagai PU Syed menegur Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor susulan tular video wakil rakyat Pas itu yang ralit berkaraoke bersama dengan seorang wanita di Tik Tok miliknya, baru-baru ini.
Syed berkata, sebagai seorang pemimpin Pas yang memegang jawatan di peringkat tertinggi, Sanusi seharusnya tidak memperlihatkan serta mempersembahkan perkara yang sepatutnya dilakukan di ruang peribadinya sahaja.
“Kalau boleh, kalau Datuk Seri (Sanusi) nak berkaraoke atau apa sahaja, buatlah secara diam-diam di rumah sendiri, tak perlu kita tunjuk pada masyarakat.
“Sebab status Datuk Seri adalah seorang Menteri Besar mewakili parti Pas dan Datuk Seri mempunyai jawatan yang besar iaitu Ahli Jawatankuasa Pas Pusat dan juga memegang jawatan sebagai Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat.
“Jadi benda-benda macam ini walaupun tak ada kesan bagi Datuk Seri tetapi bagi kami orang yang beraliran agama ini memandang perkara ini sebagai sangat tidak bagus,” katanya dalam satu video yang di muat naik di akaun Tik Tok miliknya.
Syed berkata demikian sebagai mengulas perilaku Sanusi yang berkaraoke dengan seorang wanita sehingga pukul 2 pagi, baru-baru ini.
Menurut Syed, tindakan Sanusi itu hanya akan menjatuhkan kredibiliti beliau sebagai seorang pemimpin dan berharap agar perbuatan sedemikian tidak dilakukan lagi oleh Sanusi di masa depan.
Beliau juga menasihatkan agar ADUN Jeneri itu berhenti melakukan perbuatan yang tidak memberi manfaat kepada rakyat dalam keadaan rakyat sendiri hidup susah.
“Apa yang bagus kita sokong, apa yang tak bagus kita tegur dan kita cegah daripada diteruskan sebab dengan perbuatan ini memberi contoh kepada masyarakat, kepada rakyat dan sebagainya.
“Dalam keadaan kita tengah susah payah dan sebagainya ini kurang-kurangkan lah kita (pemimpin) tunjuk perkara seperti itu agar mendapat manfaat kepada semua,” katanya.
Baca juga: