Semasa

Isu kekurangan diesel diselesaikan – Menteri KPDN

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali memaklumkan masalah bekalan diesel di beberapa stesen Petronas di seluruh negara dijangka pulih dalam tempoh di antara 24 hingga 48 jam

Mohd Armizan dipetik laporan portal FMT berkata beliau telah berhubung dengan pengurusan syarikat itu yang memberikan jaminan akan segera menambah bekalan diesel bagi mengelakkan pengguna terjejas.

“Pengguna tak perlu bimbang, isu bekalan telah selesai…saya secara peribadi sudah bercakap dengan pengurusan Petronas.

“Petronas akan gerak tambahan bekalan (diesel) dalam tempoh 24 hingga 48 jam,” katanya.

BACA LAGI: KPDN Sarawak tunggu kenyataan rasmi Petronas

Terdahulu, Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Chong Chieng Jen mendakwa terdapat kekurangan diesel di Sarawak ekoran kuota bahan api bersubsidi yang ditetapkan bagi setiap negeri.

Petronas Dagangan Berhad (PDB) kemudian melalui kenyataan mengakui beberapa stesennya di seluruh negara berdepan kehabisan bekalan diesel yang dijangka berterusan sehingga 31 Dis dan memohon maaf di atas sebarang kesulitan dihadapi pengguna.

PDB kemudian memberi jaminan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi meminimumkan gangguan berkenaan.

Mohd Armizan sementara itu berkata KPDN telah meminta Petronas dan syarikat minyak lain mengemukakan laporan dan dokumen terperinci berkaitan punca kehabisan stok diesel.

Related Articles

Back to top button