NegeriSemasa

JAIPk akan batal tauliah penceramah berpolitik di masjid, surau di Perak

Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) memberi amaran akan menarik balik pentaulihan mana-mana penceramah yang cenderung terhadap parti politik tertentu ketika berceramah di masjid atau surau di negeri itu.

Pengarah JAIPk, Harith Fadzilah Abdul Halim berkata, langkah itu selari mengikut pekeliling yang dikeluarkan pada awal tahun ini dan diedarkan kepada semua jawatankuasa kariah masjid dan surau di Perak yang berdaftar dengan jabatan tersebut.

Ia juga sebagai menjunjung titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang tidak membenarkan ahli politik berucap atau menyampaikan ceramah di masjid dan surau negeri itu bagi mengelakkan perpecahan.

“Kalau dia telah terlepas (berceramah) cenderung, kita akan tandakan dia. Maka selepas ini, jika dia ada tauliah, kita akan tarik balik,” katanya kepada pemberita.

BACA LAGI: Peruntukan RM95.7 juta kepada JAIPk bukti kerajaan lihat kepentingan pengurusan agama

Harith sebelumnya hadir ke program penghargaan ulang tahun ke-90 penerbitan Kitab Bahrul Madzi, karya almarhum Syeikh Mohamad Idris Al-Marbawi di Padang Rengas pada Rabu.

Menerusi garis panduan, dinyatakan larangan mengambil bahagian dalam aktiviti mengajar atau bersyarah di mana-mana masjid dan surau berdaftar dengan JAIPk di negeri itu, yang terpakai kepada individu yang telah dilantik Ahli Dewan Negara atau terpilih sebagai Ahli Dewan Rakyat atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mana-mana negeri.

Selain itu ialah individu yang tiada tauliah mengajar daripada Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam Negeri Perak dan individu yang memegang jawatan dalam parti politik.

Turut dilarang ialah individu yang menjadi calon bertanding dalam pilihan raya umum dan pilihan raya kecil, dan individu yang telah bersara sebagai Ahli Dewan Negara atau Ahli Dewan Rakyat atau ADUN serta didapati kekal aktif dalam kegiatan politik.

Sementara itu Harith menegaskan, pihaknya akan melaksana pemantauan bagi memastikan masjid dan surau di negeri itu disalahguna bagi menyebar ideologi kepartian.

Related Articles

Back to top button